SELANGOR, 30 Ogos 2026 (The Capital Post) – Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Malaysia, Datuk Lokman Hakim Ali meneruskan penglibatan dalam latihan penerbangan bersama pesawat Su-30MKM Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebagai persiapan pertunjukan udara sempena Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Putrajaya.
Dalam sesi berkenaan, beliau bersama Panglima Tentera Udara turut mengadakan sesi ramah mesra dengan warga Pangkalan Udara Subang, termasuk anggota TUDM dan keluarga mereka.
Sesi tersebut memberi peluang kepada warga TUDM berinteraksi serta bergambar bersama KSU, Panglima Tentera Udara dan juruterbang yang terlibat. Mereka turut berkesempatan menyaksikan operasi pelepasan dan ketibaan pesawat TUDM sepanjang latihan berlangsung.
-Advertisement-
Penglibatan KSU dalam latihan serta sesi interaksi itu mencerminkan komitmen kepimpinan Kementerian Pertahanan untuk mendekati warga pertahanan, memahami tahap kesiapsiagaan di lapangan serta menghargai dedikasi dan profesionalisme anggota TUDM dalam menjayakan pertunjukan udara sempena Hari Kebangsaan 2026. – The Capital Post