PUTRAJAYA, 30 Ogos 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuat persiapan akhir bagi menyertai perbarisan dan perarakan Sambutan Hari Kebangsaan 2026 menerusi Kontinjen Kesejahteraan Pendidikan di Dataran Putrajaya.
Persiapan tersebut dibuat selepas raptai penuh yang berlangsung baru-baru ini, dengan peserta lengkap mengenakan pakaian bertemakan kontinjen menjelang sambutan kemuncak pada 31 Ogos.
Penyertaan membawa tema “Pendidikan Inklusif, Kesejahteraan Dinikmati” yang mengetengahkan kesinambungan ekosistem pendidikan negara daripada peringkat awal kanak-kanak sehingga pendidikan tinggi, alam pekerjaan dan kebolehpasaran graduan.
Kontinjen seramai 100 pelajar daripada pelbagai peringkat pendidikan diketuai Yang Dipertua Majlis Perundingan Pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Mohamad Fardeen Khan bin Hj Newaz Khan, yang turut mewakili Majlis Perwakilan Pelajar Kebangsaan (MPPK).
Perarakan turut disertai Kereta Berhias Kesejahteraan Pendidikan dengan konsep “Bilik Kelas & Keterangkuman”, melibatkan 15 peserta bagi menggambarkan perjalanan pendidikan rakyat Malaysia.
-Advertisement-
Antara tarikan utama kereta berhias itu ialah replika Buku Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035 yang melambangkan hala tuju strategik pembangunan pendidikan negara untuk tempoh 10 tahun akan datang, selain pintu gerbang sebagai simbol akses pendidikan yang terbuka dan berterusan.
Peserta turut mengenakan pakaian daripada pelbagai sektor pekerjaan bagi menggambarkan peranan sistem pendidikan dalam melahirkan modal insan berilmu, berkemahiran dan kompeten.
Penyertaan bersama KPT dan KPM ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan pendidikan berkualiti dan inklusif terus dapat dinikmati seluruh lapisan masyarakat demi kesejahteraan negara. – The Capital Post