Kuartet 4x100m lelaki layak ke final

Estimate Reading Time: < 1 minute

HANGZHOU: Kuartet 4×100 meter lelaki negara berjaya menempah tempat ke final acara itu selepas melakar catatan ketiga terpantas pada saringan pertama temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 hari ini.

-Advertisement-

Kuartet yang disertai Khairul Hafiz Jantan selaku pelari pertama diikuti Muhammad Arsyad Saat, Jonathan Nyepa dan Muhammad Azeem Fahmi merekodkan masa 39.40 saat.

Saringan itu dimenangi tuan rumah China dengan masa 38.62s diikuti Korea Selatan 38.75s.

Gabungan empat pelari negara itu bagaimanapun berjaya mengatasi kuartet Thailand yang menamatkan larian di kedudukan keempat 39.57s.

Azeem berkata, sasaran utama hari ini adalah untuk mara ke final terlebih dahulu dan seterusnya menyasarkan rekod baharu kebangsaan pada perlumbaan final.

“Kami harap sesuatu yang positif esok dan akan terus kekal fokus supaya boleh merakam masa terbaik buat negara.

“Kombinasi kami masih belum sampai ke tahap 100 peratus tetapi ia semakin baik kerana ini kali pertama kami berlari bersama tahun ini sebab di ATF (Kejohanan Olahraga Asia di Bangkok) lalu, Arsyad tidak bersama dengan pasukan,” kata Azeem.

-Advertisement-

Azeem bagaimanapun menegaskan pelari negara masih belum berpuas hati dengan catatan masa itu dengan mengharapkan ia boleh diperbaiki lagi apabila turun beraksi jam 9.25 malam esok.

“Balik nanti kami akan buat analisis dengan pegawai teknikal dari ISN (Institut Sukan Negara) iaitu abang Jad (Adrian Washif).

“Kami akan bincang apa yang perlu diperbaiki lagi supaya sasaran dapat dicapai,” katanya.

Kuartet negara kini memburu catatan masa di bawah 39s yang mana jika berjaya ia akan menjadi rekod baharu kebangsaan.

Rekod kebangsaan dalam acara itu adalah 39.09s yang dilakukan sewaktu merangkul pingat perak pada Sukan SEA Vietnam 2021 manakala catatan masa terbaik musim ini adalah 39.17s yang dilakukan di ATF.

– BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373