KXP Holding belum mohon swapping tanah Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim

Estimate Reading Time: < 1 minute

ALOR SETAR, – KXP AirportCity Holding Sdn Bhd masih belum mengemukakan permohonan ‘swapping’ bagi menggantikan status Tanah Rizab Melayu (TRM) untuk tujuan pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).

-Advertisement-

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, KXP AirportCity, selaku agensi penyelaras dan pelaksana, KXP akan mengemukakan permohonan itu kepada Pejabat Tanah Daerah Kuala Muda, selepas proses pengambilan tanah selesai.

“Proses swapping hanya akan dilakukan setelah hak milik tanah dikeluarkan kepada pemaju,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Muhammad Sanusi Md Nor (PAS-Jeneri) yang ingin tahu adakah proses swapping sudah dilakukan, bagi menggantikan status tanah TRM.

Bagaimanapun, beliau berkata KXP AirportCity sudah memulakan usaha mengenal pasti tanah-tanah penggantian yang bersesuaian di luar status TRM.
Menjawab soalan tambahan Muhammad Sanusi yang ingin tahu apakah usaha kerajaan negeri untuk mengelakkan penurunan jumlah TRM, Mukhriz berkata perkara itu tidak berlaku di Kedah.

-Advertisement-

“Tiada fakta jelas tentang peturunan jumlah TRM, sebab di Kedah jumlah TRM semakin meningkat… jadi kami yakin di Kedah jumlah TRM tidak berkurangan.

“Setiap kali berlaku proses swapping tanah untuk tujuan pembangunan, amalan biasa yang dilaksanakan di Kedah adalah menggantikan semula tanah yang terlibat dengan lebihan atau tambahan lima peratus daripada jumlah tanah asal,” katanya.

Sementara itu, Mukhriz berkata kerajaan negeri tidak pernah melantik mana-mana pihak ‘surveyor’ untuk membuat kerja ukur tanah di kawasan yang akan dibangunkan KXP dan Taman Teknologi Tinggi di Sidam.

“Memang ada tular di media sosial, ada pihak tawarkan perkhidmatan itu… tapi ia dilakukan di luar pengetahuan dan kelulusan kerajaan,” katanya menjawab soalan Dr Robert Ling Kui Ee (PH-Sidam) yang bertanya adakah kerajaan negeri melantik mana-mana pihak sebagai orang tengah untuk rundingan jualan petak tanah di kawasan KXP.– BERNAMA