PETALING JAYA: Beberapa pengusaha kedai makan berpendapat peraturan larangan merokok yang dilaksanakan kerajaan tidak menjejaskan perniagaan mereka.
Pengusaha kedai makan di Seri Kembangan, Selangor berkata mereka amat bersetuju dengan langkah kerajaan itu.
Ibrahim Awang, 52, berkata bagi peniaga kedai makan yang menerapkan konsep keluarga, peraturan itu amat bagus dan memberi keselesaan kepada pelanggan.
“Sebab nak kata impak perniagaan, saya tak rasa ada impak.
“Kita tak suka budak-budak (melepak) hisap rokok. Lagi pun jarak 3m dari meja hanya ambil masa 2 hingga 3 minit sahaja untuk mereka hisap rokok. Tak ada masalah apa-apa,” katanya kepada FMT.
Beliau juga berkata pelanggan yang sukakan suasana keluarga memang setuju dengan larangan tersebut.
Namun, Ibrahim tidak setuju dengan cara penguat kuasa membawa media ketika menyaman perokok.
“Tak perlu membazir dan bawa orang media masuk TV. Tak perlu memalukan orang.”
Tambahnya, dia bersetuju jika kerajaan menyediakan tempat khas merokok di tempat awam dan peniaga sepertinya boleh memohon kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Ini bergantung perbincangan dengan PBT, dan kalau berminat boleh kemukakan permohonan,” katanya.
Bermula 1 Jan 2019, peraturan larangan merokok dikuatkuasakan di semua restoran bertutup, berhawa dingin atau restoran dan warung berkonsep terbuka dengan kompaun sehingga RM350.
Perokok masih dibenarkan merokok pada jarak 3m dari luar restoran terbabit.
Pada 7 Januari lalu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata pihaknya akan memperuntukkan RM1 juta kepada 155 PBT di seluruh negara untuk menyediakan kawasan khas merokok untuk kedai-kedai makan di kawasan masing-masing.
Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata PBT akan kemukakan satu garis panduan yang disediakan dalam masa terdekat untuk pemilik kedai makan yang mahu memohon PBT sediakan kawasan khas merokok.
Seorang lagi pengusaha kedai makan, Razlan Shah Moh Nasir, 50, berkata perniagaannya juga tidak terjejas dengan larangan merokok itu.
Malah, katanya, lebih ramai pelanggan datang bersama keluarga dan ia lebih selesa bagi yang membawa anak kecil.
“Pelanggan yang berkeluarga khususnya, lebih suka sebab tidak ada gangguan asap rokok dan tidak membahayakan anak-anak kecil yang menghidunya.
“Saya rasa tidak jejaskan perniagaan setakat ini. Masih baik,” katanya.
Seorang pelanggan, Afiq Salleh, 35, berkata dia tiada masalah dengan langkah itu tetapi kerajaan perlu sediakan tempat merokok.
Beliau berkata kerajaan perlu ikut cara negara maju yang melaksanakan larangan merokok di kedai makan.
“Ini kerana orang yang merokok juga membayar cukai. Penyediaan tempat merokok juga dapat lindungi orang yang merokok dan tidak merokok.
“Jadi kerajaan kena adil dalam melaksanakan larangan merokok di kedai makan,” katanya.
Seorang lagi pelanggan, Hamidah Ahmad, 25, mempersoalkan langkah kerajaan yang hanya dilaksanakan di kedai makan tetapi tidak di tempat awam seperti stesen bas dan sebagainya.
“Tak kira macam mana, tak semestinya kedai makan sahaja,” katanya.
Hamidah bagaimanapun menyambut baik langkah kerajaan menyediakan tempat khas merokok. -FMT