Latihan EV, Solar Perkasa Tenaga Mahir Selangor

Estimate Reading Time: 2 minutes

SHAH ALAM: Penubuhan Pusat Kompetensi Kenderaan Elektrik (EV) dan solar di sini dilihat sebagai langkah signifikan dalam memperkasa pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam sektor tenaga boleh baharu di Selangor.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata pusat berkenaan adalah yang pertama menerima akreditasi daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan Sustainable Energy Development Authority (SEDA).

Menurutnya, inisiatif itu membuka ruang lebih luas kepada golongan muda meningkatkan taraf hidup melalui penguasaan kemahiran teknikal selari keperluan industri semasa.

“Lebih daripada sekadar angka, ia sebenarnya melambangkan peluang kedua buat anak muda untuk membina masa depan lebih baik menerusi pendidikan dan kemahiran.

“Pusat latihan EV, Autotronics Centre of Excellence (Autotronics) memainkan peranan penting dalam memastikan peralihan tenaga negara tidak hanya bergantung kepada teknologi semata-mata, sebaliknya disokong tenaga kerja tempatan yang mahir dan bertauliah.

“Kita boleh membawa masuk teknologi canggih, namun tanpa tenaga kerja yang mampu mengendalikan, menyelenggara serta membaikinya, pelaburan tersebut tidak akan memberi impak maksimum,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Pelancaran Pusat Kompetensi EV dan Sistem Solar Autotronics di sini, Isnin.

Pada majlis sama, Yayasan Mahir Malaysia menyampaikan biasiswa berjumlah RM100,000 bagi menaja pelatih daripada golongan B40 dan M40 mengikuti latihan dalam bidang EV dan tenaga solar.

Amirudin turut menyalurkan sumbangan tambahan sebanyak RM100,000 kepada pelajar yang layak menyertai program berkenaan.

-Advertisement-

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menegaskan Selangor akan terus mempergiat pelaksanaan inisiatif tenaga boleh baharu serta penggunaan kenderaan elektrik, sejajar dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Katanya, negeri itu menyasarkan untuk muncul sebagai hab serantau bagi teknologi bersih dan industri masa depan, sekali gus menjadikan pembangunan TVET hijau sebagai antara keutamaan utama kerajaan negeri.

Beliau turut memaklumkan kejayaan Autotronics didorong kerjasama erat antara sektor awam dan swasta, termasuk Kementerian Sumber Manusia serta Kementerian Pendidikan Tinggi.

“Pendekatan ini wajar diperluaskan, di mana sektor swasta bukan sahaja berperanan sebagai pemain industri, tetapi turut menyumbang kepada pembangunan bakat dan kemahiran negara,” ujarnya.

Autotronics yang beroperasi di Subang 2, Shah Alam dilengkapi pelbagai kemudahan moden seperti makmal kenderaan elektrik dan hibrid, makmal sistem solar fotovoltaik (PV) serta fasiliti diagnostik bateri EV yang menepati piawaian industri.

Sehingga kini, pusat itu telah melahirkan lebih 1,000 graduan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang EV serta lebih 1,500 juruteknik bertauliah di bawah Institute of the Motor Industry (IMI), United Kingdom. – Berita Harian