LINDUNG 24 Jam Kini Sukarela Untuk Pekerja Tempatan

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 9 Julai 2026, (The Capital Post) – Kerajaan memutuskan caruman bagi Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) tidak lagi diwajibkan kepada pekerja tempatan, sebaliknya dilaksanakan secara sukarela berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, keputusan itu dibuat oleh Jemaah Menteri selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak berhubung pelaksanaan skim berkenaan. Bagaimanapun, caruman Skim LINDUNG 24 Jam kekal diwajibkan bagi pekerja asing mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Menurut beliau, pelaksanaan secara sukarela memberi ruang kepada pekerja tempatan untuk membuat pilihan sama ada ingin mencarum berdasarkan keperluan dan pertimbangan masing-masing. Mekanisme pelaksanaan serta proses penyertaan akan diumumkan oleh PERKESO dalam masa terdekat.

Beliau turut menegaskan bahawa walaupun penyertaan bagi pekerja tempatan tidak lagi diwajibkan, Skim LINDUNG 24 Jam masih merupakan inisiatif penting yang menyediakan perlindungan keselamatan sosial sekiranya berlaku kemalangan di luar waktu dan tempat kerja, termasuk ketika menjalankan aktiviti harian.

-Advertisement-

Dalam masa sama, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan meneliti semula mekanisme pelaksanaan skim tersebut menjelang penghujung tahun, termasuk aspek hala tuju dasar, keberkesanan pelaksanaan dan kemampuan dana bagi memastikan manfaatnya terus mampan kepada rakyat. Sekiranya perlu, hasil penelitian itu akan dibentangkan di Parlimen bagi cadangan pindaan kepada Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).

PERKESO juga akan terus memperhebat usaha meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan perlindungan sosial serta memastikan orang ramai menerima maklumat yang jelas dan tepat mengenai manfaat Skim LINDUNG 24 Jam bagi membantu mereka membuat keputusan yang bersesuaian. – The Capital Post