Malaysia cadang AIIB lebih inklusif, bantu negara membangun

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Malaysia mencadangkan supaya Bank Pelaburan Infrastruktur Asia (AIIB) menerapkan mekanisme pembiayaan yang inklusif serta memenuhi keperluan khusus negara-negara membangun.

-Advertisement-

Kenyataan Malaysia itu disampaikan oleh Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan semasa Meja Bulat Perniagaan Gabenor pada 25 September lalu.

-Advertisement-

Program itu diadakan pada mesyuarat tahunan AIIB yang berlangsung dari 25 hingga 26 September 2023 di Sharm El-Sheikh, Mesir.

Beliau turut menyatakan pendirian Malaysia supaya AIIB meneroka pilihan pembiayaan alternatif seperti geran dan mekanisme kewangan campuran, selaras dengan prinsip perkongsian risiko yang saksama dalam kewangan Islam, menurut kenyataan Kementerian Kewangan (MOF), hari ini.

MOF menjelaskan, ini dapat menggantikan model pembiayaan awam seperti pinjaman penuh untuk membantu negara-negara membangun menerima pakai amalan mesra iklim.

Usaha ini akan mempercepat peralihan negara terbabit ke arah ekonomi rendah karbon, tambahnya.

Menurut MOF, tambahan lagi, masyarakat yang terkesan dengan perubahan iklim akan menerima manfaat melalui strategi adaptasi yang dapat mengurangkan risiko dan bahaya iklim seperti banjir, tanah runtuh atau ribut taufan.

Mesyuarat tahunan kali kelapan bertemakan ‘Pertumbuhan Kemampanan dalam Dunia yang Mencabar’ itu diadakan buat kali pertama di benua Afrika serta secara fizikal selepas pandemik.

AIIB dianggotai oleh 107 negara anggota dan berfungsi sebagai bank pembangunan multilateral yang bertujuan menyokong pembangunan ekonomi mampan, di samping menggalakkan kerjasama serantau dalam menangani isu dan cabaran pembangunan negara anggota.

Malaysia menganggotai AIIB pada 2016.

-BERNAMA
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373