PUTRAJAYA 9 Julai 2026, (The Capital Post) – Malaysia dan Hungary terus memperkukuh hubungan dua hala menerusi sesi kunjungan hormat Duta Besar Hungary ke Malaysia, TYT Dr. Sándor Sipos, kepada Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Dato’ Ts. Dr. Nagulendran di Putrajaya.
Pertemuan tersebut memberi fokus kepada usaha memperluaskan kerjasama dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI) serta mengaktifkan semula pelbagai inisiatif yang telah terjalin antara kedua-dua negara sebelum ini.
Dalam sesi berkenaan, kedua-dua pihak turut bersetuju untuk mewujudkan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Malaysia-Hungary sebagai platform rasmi bagi menyelaras pelaksanaan kerjasama dalam bidang STI secara lebih sistematik, berkesan dan selaras dengan hala tuju pembangunan kedua-dua negara.
-Advertisement-
Mekanisme itu dijangka menjadi medium penting untuk memperkukuh perkongsian kepakaran, pertukaran pengetahuan serta memperluaskan peluang kolaborasi dalam pelbagai bidang yang mempunyai kepentingan bersama.
Kunjungan hormat tersebut turut membuka ruang kepada penerokaan kerjasama strategik yang lebih menyeluruh antara Malaysia dan Hungary, sekali gus memperkukuh ekosistem sains, teknologi dan inovasi negara serta menyumbang kepada hubungan dua hala yang lebih erat dan saling menguntungkan pada masa hadapan. – The Capital Post