Malaysia, ISSA Perkukuh Kerjasama Strategik Perlindungan Sosial

Estimate Reading Time: < 1 minute

GENEVA, Switzerland, 9 Jun 2026 (The Capital Post) – Malaysia terus memperkukuh kerjasama strategik dalam agenda perlindungan sosial melalui kunjungan hormat oleh Menteri Sumber Manusia, YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan kepada Presiden International Social Security Association (ISSA), Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman bin Dato’ Aziz Mohammed di Geneva, Switzerland.

Dalam pertemuan tersebut, YB Menteri berkongsi pelbagai reformasi perlindungan sosial yang dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI bagi memperkukuh kebajikan dan kesejahteraan pekerja, termasuk pelaksanaan Akta Pekerja Gig 2025 yang memberi perlindungan lebih menyeluruh kepada lebih 1.6 juta pekerja gig.

Beliau turut memaklumkan mengenai Skim Lindung 24 Jam yang mula berkuat kuasa pada 1 Jun 2026, yang melindungi lebih 9 juta pekerja tanpa mengira masa dan lokasi kemalangan, sebagai sebahagian usaha memperkukuh jaringan keselamatan sosial negara.

YB Menteri menegaskan komitmen berterusan Kerajaan Malaysia di bawah pimpinan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk memastikan sistem perlindungan sosial yang lebih inklusif, mampan dan responsif terhadap keperluan tenaga kerja semasa, di samping mengekalkan keseimbangan antara kebajikan pekerja dan daya saing majikan.

-Advertisement-

Kunjungan itu turut membuka ruang kepada pertukaran pandangan serta perkongsian amalan terbaik dalam bidang keselamatan sosial, sekali gus mengukuhkan hubungan strategik antara Malaysia dan ISSA dalam memperkasa agenda perlindungan sosial di peringkat antarabangsa.

Turut hadir ialah Marcelo Abi-Ramia Caetano, Setiausaha Agung ISSA; Fabian Pilzecker, Pengerusi Suruhanjaya Kawalan ISSA; Jens Schremmer, Pengarah Tadbir Urus, Hubungan dan Wilayah ISSA; Indrajid Nurmukti, Penyelaras Serantau ISSA bagi Asia dan Pasifik; Mas Ari Amry Bin A. Rahman, Pegawai Khas kepada Presiden ISSA; serta Katharina Kirn, Pegawai Khas kepada Pengerusi Suruhanjaya Kawalan ISSA, berdasarkan maklumat daripada Kementerian Sumber Manusia. – The Capital Post.