PUTRAJAYA 9 Ogos 2026 (The Capital Post) – Presiden Persekutuan Farmaseutikal Antarabangsa (FIP), Paul Sinclair, mengadakan lawatan hormat ke atas Menteri Kesihatan Malaysia, YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, di Putrajaya pada 6 Ogos 2026 bagi membincangkan persiapan penganjuran Kongres Farmasi dan Sains Farmaseutikal Dunia FIP ke-85 yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur pada tahun 2027.
Pertemuan tersebut menjadi platform penting bagi memperkukuh hubungan strategik antara FIP, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) dalam memastikan penganjuran kongres bertaraf antarabangsa itu berjalan lancar, selain membincangkan perkembangan sektor farmasi negara.
Antara perkara utama yang diberi perhatian termasuk usaha menangani rintangan antimikrob (AMR), pengukuhan perkhidmatan penjagaan kesihatan primer, keselamatan pesakit, pembangunan tenaga kerja farmasi serta penerokaan inovasi dalam penyampaian perkhidmatan farmasi.
Delegasi FIP turut disertai Ketua Pegawai Operasi FIP, Carola van der Hoeff, bersama barisan wakil MPS iaitu Presiden MPS, Hon. Prof. Amrahi Buang; Naib Presiden II, Prof. Ts. Dr. Mai Chun Wai; serta Setiausaha Agung MPS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Tempatan FIP 2027, Lim Jack Shen.
-Advertisement-
Delegasi berkenaan turut disambut oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perkhidmatan Farmaseutikal), Dr. Azuana Ramli, bersama pegawai kanan KKM yang hadir dalam sesi perbincangan tersebut.
MPS merakamkan penghargaan kepada YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, Pejabat Menteri Kesihatan serta Program Perkhidmatan Farmaseutikal atas sambutan mesra, komitmen dan sokongan berterusan dalam memperkukuhkan kerjasama kesihatan di peringkat nasional serta antarabangsa.
Penganjuran Kongres FIP 2027 dijangka menjadi peluang besar untuk mengetengahkan keupayaan Malaysia dalam bidang farmasi dan penjagaan kesihatan, di samping meninggalkan legasi bermakna kepada komuniti farmasi global. – The Capital Post