Malaysia Perkukuh Kerjasama Tenaga Melalui AZEC

Estimate Reading Time: < 1 minute

MANILA 9 Oktober 2026 (The Capital Post) – Menteri Ekonomi Malaysia menyertai Mesyuarat Peringkat Menteri Komuniti Sifar Pelepasan Asia (AZEC) Kali Keempat di Philippines International Convention Center (PICC), Filipina, pada 8 Oktober bagi memperkukuh kerjasama serantau dalam peralihan tenaga dan mencapai sasaran pelepasan sifar bersih.

Di luar mesyuarat tersebut, beliau mengadakan perbincangan dua hala bersama Penolong Menteri Perubahan Iklim dan Tenaga Australia, Josh Wilson, yang memberi tumpuan kepada isu keterjaminan bekalan tenaga serta bekalan gas antara kedua-dua negara.

Beliau turut bertemu Menteri Negara Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun, Takagi Kei, bagi membincangkan peranan Malaysia dalam AZEC serta potensi kerjasama dalam bidang penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) dan hidrogen.

Mesyuarat AZEC kali ini turut mengesahkan kenyataan bersama yang merangkumi perancangan dan pelan tindakan kerjasama dalam beberapa bidang tenaga, termasuk tenaga boleh baharu, tenaga nuklear, penyimpanan strategik dan bioenergi.

-Advertisement-

Mesyuarat itu turut disusuli pertemuan khas bersama negara pengeluar minyak dari Timur Tengah, iaitu Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), yang membentangkan cadangan berkaitan penyimpanan strategik bagi negara anggota AZEC.

Secara keseluruhan, lawatan rasmi tersebut membuka ruang kepada persetujuan strategik untuk memperluas kerjasama tenaga antara Malaysia dengan rakan serantau dan antarabangsa, sekali gus memperkukuh kedudukan negara sebagai hab peralihan tenaga dan CCUS di rantau ini – The Capital Post