PUTRAJAYA 15 Jun 2026 (The Capital Post) – Malaysia melalui Kementerian Digital terus memperkukuh peranan serantau dalam agenda transformasi digital ASEAN apabila menerajui penganjuran bengkel fasa pertama ASEAN Digital Outlook 2027 (ADO 2027) yang dilaksanakan secara dalam talian bersama Economic Research Institute for ASEAN and East Asia (ERIA).
Sesi bengkel tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik & Pengurusan) Kementerian Digital, Shakib Ahmad Shakir bin Jamaluddin yang merasmikan pembukaan program berkenaan.
Penganjuran bengkel ini bertujuan memperkenalkan kerangka utama ADO 2027 selain membentangkan serta mengesahkan pendekatan metodologi kajian yang dibangunkan oleh ERIA, di samping mendapatkan input dan pandangan daripada negara-negara anggota ASEAN bagi penambahbaikan kandungan kajian fasa pertama.
Kerjasama strategik ini turut melibatkan Economic Research Institute for ASEAN and East Asia sebagai rakan penyelidik utama dalam usaha memperkukuh asas data serta analisis berkaitan perkembangan ekosistem digital di rantau ini.
-Advertisement-
Menurut penganjur, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan Malaysia dalam memperkukuh kerjasama digital serantau serta menyokong pembangunan ekosistem digital ASEAN yang lebih inklusif, berdaya saing dan mampan melalui pendekatan berasaskan data, inovasi dan perkongsian strategik.
Usaha ini juga dilihat sebagai langkah penting ke arah memperkukuh kedudukan ASEAN dalam landskap ekonomi digital global yang semakin berkembang pesat. – The Capital Post