MDEC Perluas Agenda AI Untuk Rakyat

Estimate Reading Time: < 1 minute

SHAH ALAM 14 Mei 2026 (The Capital Post)Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) terus memperluaskan agenda pendigitalan negara menerusi kerjasama strategik bersama kumpulan media Sinar Karangkraf dalam usaha memastikan manfaat transformasi digital dan teknologi kecerdasan buatan (AI) dapat dinikmati seluruh rakyat.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Anuar Fariz Fadzil bersama pasukannya telah mengadakan sesi libat urus dengan pihak pengurusan Sinar Karangkraf yang turut menaungi jenama media tempatan seperti Sinar Harian.

Perbincangan tersebut memberi fokus kepada usaha memperkasa transformasi digital serta memperluas penggunaan teknologi AI demi manfaat rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat, khususnya komuniti luar bandar dan pinggir bandar.

Langkah itu dilihat selari dengan aspirasi negara untuk muncul sebagai negara berteraskan AI menjelang tahun 2030, selain memperkukuh akses rakyat terhadap ekonomi digital yang lebih inklusif.

-Advertisement-

MDEC turut menegaskan komitmennya untuk memastikan pembangunan teknologi negara dilaksanakan secara menyeluruh tanpa meminggirkan mana-mana kelompok masyarakat.

Kerjasama bersama organisasi media tempatan juga dijangka memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan literasi digital dan penggunaan teknologi secara lebih meluas. – The Capital Post