MASTHAI 2026 Kukuh Kerjasama Sukan IPT

Estimate Reading Time: 2 minutes

CHIANG MAI 8 Julai 2026, (The Capital Post) – Kejohanan Malaysia-Thailand Higher Institutions Games (MASTHAI) Edisi Ke-16 menjadi platform penting dalam memperkukuh kerjasama strategik antara Malaysia dan Thailand bagi pembangunan sukan berprestasi tinggi di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT).

Penganjuran kejohanan yang berlangsung di Chiang Mai Rajabhat University, Thailand dari 29 Jun hingga 3 Julai lalu menghimpunkan seramai 92 ahli kontinjen Malaysia, dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bertindak sebagai urusetia bagi menyelaras pelbagai pengisian termasuk pertandingan sukan, program walk rally serta persembahan kebudayaan bagi mengeratkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Selaras dengan usaha memperkasa pembangunan atlet IPT, satu sesi perkongsian ilmu bertajuk High Performance Sports in University: Development and Challenges turut diadakan bagi membincangkan pembangunan serta cabaran sukan berprestasi tinggi di universiti, sekali gus membuka ruang kepada pertukaran idea dan amalan terbaik antara institusi pendidikan tinggi kedua-dua negara.

Sebagai simbolik sokongan terhadap kontinjen negara, majlis penyerahan bendera kepada Ketua Kontinjen telah disempurnakan oleh Setiausaha Bahagian Perancangan Strategik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Fazidah Mustafa di Universiti Putra Malaysia (UPM) sebelum keberangkatan pasukan ke Thailand.

-Advertisement-

Melalui pembentangan interaktif oleh Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Ahmad Marthada Mohamed, pihak Thailand turut menyatakan minat untuk memperluaskan jaringan kepakaran serta kerjasama strategik dengan universiti di Malaysia dalam usaha melahirkan atlet IPT yang lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Kontinjen Malaysia turut mempamerkan prestasi cemerlang apabila mencatat kemenangan 7-0 dalam acara Badminton Campuran serta menguasai Petanque Campuran dengan keputusan 5-2. Pasukan tuan rumah pula berjaya menjuarai acara Bola Tampar Wanita dan Sepak Takraw Lelaki.

Kejohanan itu turut dihadiri Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan Tinggi, Sains, Penyelidikan dan Inovasi Thailand, Viraporn Rungtrakarn; Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah merangkap Ketua Pengurusan Kontinjen Malaysia, Prof. Datuk Dr. Ts. Kassim Mansor; Timbalan Setiausaha Bahagian Seksyen Sukan Bahagian Perancangan Strategik KPT, Dr. Hanafiah Ayub serta Timbalan Presiden Chiang Mai Rajabhat University, Prof. Madya Dr. Akhrasit Bungsongthae. – The Capital Post