Maulidur Rasul Perkukuh Amanah dan Integriti Maritim Malaysia

Estimate Reading Time: < 1 minute

KELANTAN 21 Ogos 2026 (The Capital Post) – Ibu Pejabat Maritim Negeri (IPMN) Kelantan menganjurkan Program Penghayatan Maulidur Rasul S.A.W. 1448H/2026M sebagai usaha menyemarakkan kecintaan terhadap Nabi Muhammad S.A.W. serta memperkukuh penerapan nilai murni dalam kalangan warga Maritim Malaysia, hari ini.

Program yang berlangsung di Pasir Puteh itu memberi penekanan kepada penghayatan sirah Rasulullah S.A.W. serta nilai amanah, integriti, keadilan, ihsan dan disiplin yang relevan dalam pelaksanaan tugas sebagai penjawat awam dan anggota penguat kuasa maritim.

Pengisian program disampaikan oleh Al Fadhil Ustaz Kepten Maritim Haji Nik Kamaruddin bin Yunoh yang berkongsi mengenai perjalanan kehidupan Rasulullah S.A.W. serta kepentingan menjadikan akhlak dan nilai kepimpinan Baginda sebagai panduan dalam menjalankan tanggungjawab.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Kamal bin Mohamad, berkata penghayatan Maulidur Rasul bukan hanya berkisar mengenai sambutan kelahiran Nabi Muhammad S.A.W., sebaliknya perlu diterjemahkan melalui amalan dan etika dalam kehidupan seharian serta pelaksanaan tugas.

-Advertisement-

Menurut beliau, nilai amanah, keadilan dan ihsan perlu diterapkan dalam setiap tanggungjawab warga Maritim Malaysia, termasuk penguatkuasaan undang-undang, pemeliharaan keselamatan perairan negara serta pelaksanaan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT).

Program tersebut turut dilihat sebagai platform untuk memperkukuh sahsiah, semangat ukhuwah dan jati diri warga Maritim Malaysia agar terus melaksanakan amanah dengan penuh profesionalisme dan berintegriti.

Penghayatan terhadap nilai-nilai murni berkenaan diharap dapat memperkukuh komitmen warga Maritim Malaysia dalam memastikan keselamatan, keamanan dan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara. – The Capital Post