PARIS: Kylian Mbappe membuka jaringan dalam kemenangan 2-0 Paris Saint-Germain ke atas Real Sociedad pada aksi pertama 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah.
Mbappe, yang bakal meninggalkan kelab Paris itu akhir musim ini apabila kontraknya berakhir, memecah kebuntuan di pertengahan babak kedua sebelum Bradley Barcola memastikan kemenangan pada minit ke-70 aksi di Parc des Princes.
“Kami berjaya menjaringkan gol pada saat getir. Kami gembira dengan langkah pertama ini. Masih banyak yang perlu dilakukan tetapi kelebihan ini cukup bagus,” kata Mbappe.
Tekanan cukup kuat ke atas PSG menjelang aksi kalah mati selepas mereka tersingkir di peringkat 16 terakhir sebanyak lima kali sepanjang tujuh musim lalu.
Jika tersingkir sekali lagi, terutama di tangan Real Sociedad yang baru pertama kali tampil di peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara selepas dua dekad, ia kekalahan paling memalukan buat juara Perancis itu.
Sociedad bertandang ke Paris tanpa kapten mereka, Mikel Oyarzabal yang masih belum pulih daripada kecederaan.
PSG, yang menurunkan bek kiri berusia 20 tahun dari Brazil, Lucas Beraldo buat pertama kali dalam aksi Liga Juara-Juara, kini melebarkan rekod tanpa kalah dalam semua pertandingan kepada 17 perlawanan sejak November.
-AFP
-BeritaHarian