KUALA LUMPUR 21 Mei 2026 (The Capital Post) – Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) terus memperkukuh komitmennya dalam memperkasa ekosistem digital negara menerusi penyertaan sebagai rakan strategik dalam acara Data Centre & Cloud Infrastructure Expo 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Program berkenaan telah dirasmikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Johari Abdul Ghani, yang menekankan kepentingan pembangunan infrastruktur digital mampan dalam menyokong pertumbuhan ekonomi digital negara.
Mewakili MDEC, Naib Presiden Bahagian Penggunaan Digital, Ir. Wan Murdani Wan Mohamad, telah menyampaikan ucaptama berkaitan usaha memperkukuh ekosistem digital Malaysia bagi memastikan negara terus berdaya saing dalam landskap teknologi global.
-Advertisement-
Sementara itu, Pengurus Kanan Infrastruktur dan Perkhidmatan Digital MDEC, Chan Chuey Hwye, turut berkongsi pandangan mengenai strategi memperluas pembangunan pusat data mampan di rantau ASEAN selaras dengan peningkatan permintaan terhadap teknologi awan dan penyelesaian digital masa hadapan.
Penyertaan MDEC dalam expo tersebut mencerminkan usaha berterusan agensi itu dalam memperkukuh kerjasama strategik bersama pemain industri serta mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab utama infrastruktur digital serantau yang bersedia menghadapi keperluan teknologi masa depan. – The Capital Post