Melaka Lancar Kelas Berasaskan AI (AIPC)

Estimate Reading Time: < 1 minute

MELAKA 21 Mei 2026 (The Capital Post) – Inisiatif pendidikan digital negara diperkukuh menerusi pelancaran AI-Powered Classroom (AIPC) Peringkat Negeri Melaka yang dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan Paya Rumput sebagai langkah memperluas penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam sistem pembelajaran.

Majlis peluncuran tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Mohd Azam bin Ahmad, selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia dalam memperkasakan Dasar Pendidikan Digital negara.

Inisiatif AIPC ini bertujuan mengintegrasikan teknologi AI dalam pedagogi pengajaran bagi mempertingkatkan keberkesanan pembelajaran serta mewujudkan pengalaman pendidikan yang lebih kreatif, interaktif dan berasaskan data.

Sebanyak 27 buah sekolah telah dipilih sebagai fasa awal pelaksanaan sebagai penanda aras sebelum diperluas secara berperingkat ke 800 sekolah di seluruh negara menjelang tahun 2027.

-Advertisement-

Pelaksanaan program ini memberi tumpuan kepada tiga teras utama iaitu kesiapsiagaan sekolah, peningkatan kompetensi AI dalam kalangan guru serta inovasi pengajaran dan pembelajaran (PdP) melalui penggunaan teknologi seperti prompt engineering dan ekosistem digital DELIMa.

Inisiatif berkenaan dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkukuh transformasi pendidikan negara ke arah ekosistem pembelajaran digital yang lebih maju dan berdaya saing di peringkat global. – The Capital Post