Meletakkan jurnal ahli akademik Malaysia di peta dunia

Estimate Reading Time: 2 minutes

DOHA- Terdapat rancangan untuk ahli akademik dan pensyarah Malaysia menerbitkan jurnal antarabangsa dalam tiga bidang pengkhususan utama yang berpotensi untuk meletakkan sektor pendidikan negara di peta dunia.

-Advertisement-

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata tiga bidang itu ialah Kajian Timur Tengah (Kajian Kawasan), Perhubungan Antarabangsa dan Perkhidmatan Luar serta Pemikiran Islam dan Kajian Kontemporari Islam yang akan ditumpukan kementerian dengan memulakan satu perkongsian dan kerjasama dengan Georgetown University (GU-Q) di Qatar.

“Sebagai sebuah daripada universiti terkemuka di Amerika Syarikat, dan sekarang sudah ada kampus Georgetown Universiti di Qatar, saya fikir tibalah masa untuk kerjasama strategik antara universiti dan ahli akademik Malaysia dengan GU-Q.

Saya lihat GU-Q mendahului di dalam tiga bidang ini dan menjadi sasaran saya untuk meletakkan ahli akademik dan pensyarah Malaysia di peta dunia dan melakukan pengkhususan dalam tiga tahun ini,” katanya kepada Bernama selepas melawat GU-Q yang terletak di Education City di Bandar Al Rayyan di pinggir Doha.

Education City ialah inisiatif Yayasan Qatar untuk Pembangunan Pendidikan, Sains dan Masyarakat.

Maszlee, yang disambut oleh Dekan GU-Q Dr Ahmad S.Dallal, berkata beliau telah menerima persetujuan lisan untuk perkongsian pintar bagi kerjasama yang merangkumi pergerakan dalam kalangan profesor dan penuntut daripada universiti itu ke Malaysia dan sebaliknya.

“Kami juga berminat dalam kerjasama penyelidikan dan berusaha untuk menerbitkan jurnal di peringkat antarabangsa dan bekerja rapat dengan universiti itu. Untuk itu, kami akan menumpukan kepada pensyarah baru dan muda, juga pelajar pascasiswazah untuk mendapat lebih banyak pendedahan daripada universiti berprestij itu.

-Advertisement-

Dalam pertemuan 30 minit itu, Maszlee berkata beliau juga memulakan satu perkongsian dengan GU-Q untuk penyelidik dan universiti Malaysia mendapat akses dan berkongsi maklumat dalam talian mereka yang menawarkan lebih daripada dua juta sumber akademik tetapi memerlukan perbincangan lanjut.

Sementara itu, Ahmad berkata transformasi luar biasa sektor pendidikan tinggi Malaysia dan kesannya kepada pertumbuhan pembangunan insannya adalah bukti kepada peranan penting penyelidikan dan pendidikan dalam masyarakat.

“Satu penghormatan untuk mendapat peluang membincangkan nilai yang dikongsi bersama ini, dan untuk meneroka kemungkinan kerjasama pendidikan di masa hadapan antara hab pendidikan untuk Qatar dan Malaysia,” katanya.

Kemudian, Maszlee juga dibawa melawat sekitar Georgetown University di Qatar oleh Pengarah Pemasaran universiti itu Waleed Khan.

Menteri pendidikan itu turut melawat asrama penuntut yang boleh menampung 1,200 pelajar.- BERNAMA