Mesir tersingkir, Salah boleh tumpu Liverpool

Estimate Reading Time: 2 minutes

ABIDJAN: Mohamed Salah yang cedera tidak berpeluang kembali ke Piala Negara-Negara Afrika selepas Mesir tersingkir daripada pertandingan itu awal pagi tadi dalam penentuan penalti dramatik menentang DR Congo manakala Guinea layak ke suku akhir.

Pemegang rekod juara tujuh kali Mesir tumpas 8-7 menerusi penentuan sepakan penalti di tangan Congo selepas aksi pusingan 16 terakhir mereka berkesudahan 1-1 pada hujung masa tambahan.

Meschack Elia meletakkan DR Congo di depan di bandar pantai Ivory, San Pedro pada minit ke-37 sebelum Mostafa Mohamed menyamakan kedudukan buat Mesir menerusi tendangan penalti pada masa kecederaan babak pertama.

Dengan tiada jaringan lagi, Mesir bertahan untuk penentuan penalti selepas Mohamed Hamdy dibuang padang kerana kesalahan kad kuning kedua pada separuh masa pertama masa tambahan.

Mereka terbabit dalam tiga penentuan penalti dalam empat perlawanan kalah mati pada Piala Negara-Negara di Cameroon dua tahun lalu, apabila mereka tumpas di tangan Senegal pada final menerusi penentuan penalti.

Mohamed terlepas sasaran menerusi sepakan kedua Pharaohs, namun Arthur Masuaku kemudian mensia-siakan percubaan berikutnya buat Leopards.

Penjaga gol Mesir, Mohamed Abou Gabal, yang lebih dikenali sebagai Gabaski, kemudian menyepak tinggi sepakan penalti kesembilan pasukannya dan penjaga gol Congo, Lionel Mqasi tidak melakukan kesilapan untuk membawa DR Congo ke suku akhir.

Ia pengalaman pahit buat Mesir, yang hadir di bumi Ivory Coast dengan harapan untuk merangkul kejuaraan Piala Negara-Negara buat kali pertama sejak 2010, setahun sebelum Salah melakukan penampilan sulung di peringkat antarabangsa.

Namun mereka bergelut di peringkat kumpulan dengan tiga keputusan seri dan kehilangan bintang Liverpool itu kerana kecederaan hamstring pada perlawanan kedua menentang Ghana.

Dia sudah kembali ke kelabnya untuk meneruskan rawatan dengan harapan untuk mampu kembali bagi peringkat seterusnya pada kejohanan itu, namun kini impiannya untuk memenangi kejuaraan bersama pasukan negaranya terencat sekali lagi.

Sementara itu, ia kali pertama DR Congo memenangi peringkat kalah mati pada kejohanan itu sejak layak ke separuh akhir pada 2015.

“Kami banyak berlatih penalti ketika latihan dalam beberapa hari terakhir dan saya sedar saya perlu bersedia,” kata Mpasi, bekas pemain remaja Paris Saint-Germain yang kini beraksi dengan Rodez dalam divisyen dua Perancis, kepada hos penyiar Canal Plus Afrique.

Pasukan kendalian Sebastien Desabre kini akan menuju ke Abidjan bagi pertembungan suku akhir Jumaat ini menentang Guinea, yang terdahulu menundukkan Equatorial Guinea 1-0 dengan gol kemenangan dramatik Mohamed Bayo pada minit kelapan masa kecederaan.

Perlawanan di Stadium Olimpik Ebimpe itu turut menuju ke masa tambahan apabila Bayo, yang beraksi dengan Le Havre di Perancis, menanduk masuk hantaran silang Ibrahim Diakite untuk mencetus kegembiraan dalam kalangan penyokong Guinea yang mendominasi hampir 36,340 penonton.

Ia satu detik bersejarah buat Syli National, yang tidak pernah menang aksi kalah mati Piala Negara-Negara sebelum ini – mereka muncul naib juara pada 1976, dalam era apabila empat pasukan terbaik beraksi secara round-robin untuk memutuskan pemenang trofi itu.

– AFP

– BeritaHarian

-Advertisement-

-Advertisement-


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373