Mesyuarat NACCOL Perhalusi Langkah Tangani Isu Kos Sara Hidup

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 30 September 2026 (The Capital Post) – Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Bil. 2/2026 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berlangsung pada 29 September bagi membincangkan langkah berkaitan isu kos sara hidup rakyat.

Mesyuarat tersebut menjadi platform strategik yang menghimpunkan kementerian dan agensi kerajaan untuk meneliti serta memperhalusi pelbagai cadangan yang boleh dijadikan input dalam penyediaan Belanjawan 2027.

Perbincangan turut meliputi beberapa bidang yang mempunyai kaitan langsung dengan kesejahteraan rakyat, termasuk sokongan kepada isi rumah, usaha meningkatkan pendapatan, pendidikan, pengangkutan serta pengukuhan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

-Advertisement-

NACCOL juga terus berperanan sebagai mekanisme penyelarasan antara kementerian dan agensi bagi memastikan pelaksanaan inisiatif berkaitan kos sara hidup dapat dilaksanakan secara bersepadu serta memberi tumpuan kepada kumpulan sasaran.

Selain penyelarasan, aspek pemantauan berterusan turut diberi perhatian bagi memastikan peruntukan kerajaan digunakan secara optimum dan pelaksanaan setiap inisiatif dapat memberikan manfaat kepada golongan yang memerlukan – The Capital Post