MFA Lancar Anugerah Francais 2026

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 23 Mei 2026 (The Capital Post)Persatuan Francais Malaysia (MFA) secara rasmi melancarkan Malam Anugerah Francais Malaysia 2026 (MAF2026) sebagai platform berprestij bagi mengiktiraf pencapaian, inovasi dan kecemerlangan pemain industri francais tempatan serta antarabangsa.

Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Tuan Steven Sim sempena Majlis Resepsi Koktel Pameran Francais Antarabangsa Malaysia 2026 (FIM2026) yang berlangsung di Dewan 1, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

FIM2026 yang berlangsung selama tiga hari sehingga 23 Mei ini menghimpunkan pelbagai pemain industri francais dan usahawan bagi memperkukuh jaringan perniagaan serta peluang kerjasama strategik dalam sektor tersebut.

MAF2026 dijadual berlangsung pada 20 November 2026 di Kuala Lumpur dan dijangka menarik lebih 1,000 penggiat industri, wakil agensi kerajaan, pemegang taruh serta rakan strategik industri francais negara.

Pencalonan anugerah akan dibuka bermula Jun hingga Ogos 2026 dengan penyertaan terbuka kepada semua penggiat industri termasuk syarikat yang bukan ahli MFA.

Sebanyak 23 kategori anugerah akan dipertandingkan melibatkan kategori Sistem Francais, Francaisor Antarabangsa, Francaisi, Terbuka, ESG dan Media bagi mengiktiraf pelbagai aspek kecemerlangan industri.

-Advertisement-

Pengerusi MFA, Datuk Dr. Radzali Hassan berkata, MFA turut memperkenalkan dua kategori baharu iaitu Best Franchise Productivity dan Best Franchise Digitalization bagi mengiktiraf syarikat yang berjaya memperkukuh produktiviti operasi serta transformasi digital organisasi.

Menurut beliau, MFA turut bekerjasama dengan Malaysia Productivity Corporation (MPC) bagi memperkenalkan elemen penilaian yang lebih menyeluruh dan berteraskan produktiviti.

Sepanjang penganjurannya, anugerah Francais Terbaik pernah dimenangi beberapa jenama terkenal termasuk Daily Fresh, Focus Point, Marrybrown, OldTown White Coffee, Secret Recipe dan The Manhattan Fish Market.

Maklumat lanjut mengenai MAF2026 boleh diperoleh menerusi laman rasmi Persatuan Francais Malaysia (MFA). – The Capital Post