MH17: Malaysia tuntut kerjasama dalam siasatan UNSC

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Malaysia menuntut semua negara yang terbabit dengan nahas pesawat MH17 yang ditembak jatuh di Grabovo, Donetsk, enam tahun lalu bekerjasama sepenuhnya terhadap siasatan dilakukan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC).

-Advertisement-

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata siasatan mengenai nahas pesawat malang itu adalah selaras dengan Resolusi UNSC 2166.

Kata beliau, penyiasatan dan perbicaraan untuk menuntut keadilan terhadap insiden itu tidak boleh dibiarkan berlalu begitu sahaja malah ia tidak boleh tunduk dengan desakan politik oleh mana-mana pihak atau negara.

“Hanya ketegasan undang-undang yang mampu mengadili perlakuan jahat oleh pihak yang tidak berperikemanusiaan ini dan mengembalikan kehormatan terhadap mangsa korban serta saudara-mara mereka

“Malaysia tetap tidak akan berputus asa dan terus komited untuk mencari pembelaan buat ahli keluarga dan orang tersayang. Ingatan dan doa kami akan sentiasa bersama mangsa dan orang yang mereka sayang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah Ka Siong, Malaysia masih kekal bersolidariti bersama saudara-mara kepada 298 mangsa termasuk anak kapal dalam usaha mendapatkan penyelesaian terbaik ketika perbicaraan di mahkamah.

“Dunia mengingati tahun ini sebagai sebagai tahun keenam insiden tragis yang menimpa penerbangan MH17.

-Advertisement-

“Bagi mengenang peristiwa tragis itu, Malaysia mengulangi komitmennya untuk kekal sebagai sebahagian daripada Pasukan Penyiasatan Bersama Antarabangsa (JIT) terhadap proses keadilan yang dilakukan supaya ia dapat dijalankan secara telus, berdasarkan undang-undang agar keadilan dapat ditegakkan,” katanya.

Pesawat MH17 ditembak jatuh di Grabovo, Donetsk yang terletak di Timur Ukraine, kira-kira 50 kilometer dari sempadan Ukraine-Russia dalam kejadian pada 17 Julai 2014.

Pada Jun tahun lalu, JIT yang diketuai Belanda menamakan empat suspek, sebagai pihak bertanggungjawab dalam tragedi mengorbankan 283 penumpang dan 15 anak kapal Penerbangan Malaysia (MAS) ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu.

JIT menamakan tiga warga Russia, Igor Vsevolodovish Girkin, Sergey Nikolayevich Dubinskiy, Oleg Yuldashevich Pulatov dan seorang rakyat Ukraine, Leonid Volodymyrovych Kharchenko, sebagai dalang utama.

Mereka sepatutnya dibicarakan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague, Belanda pada Mac lalu.

-BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373