MHC yakin Malaysia tutup tirai 2021 di kedudukan 10 terbaik dunia

Estimate Reading Time: < 1 minute

PETALING JAYA: Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal yakin skuad hoki kebangsaan akan berada di ranking lebih baik pada masa akan datang selepas kejayaan berada dalam kelompok 10 teratas dunia.

-Advertisement-

Berdasarkan kemas kini terbaharu Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), Malaysian Tigers naik satu anak tangga ke No. 10 dunia dengan 1427.181 mata, memintas Kanada yang jatuh ke No. 11 dunia (1422.120 mata).

Kali terakhir Malaysia berada dalam kelompok 10 teratas adalah 18 tahun lalu iaitu pada Oktober 2003.

“Mungkin orang kata ini (ranking) sementara sahaja sebab perlu lihat perlawanan demi perlawanan tetapi kami yakin pasukan negara akan akhiri tahun ini dalam kelompok 10 terbaik.

“Ranking amat penting kerana kita pernah jatuh selepas FIH mula memperkenalkan sistem ranking dunia. Alhamdulillah hari ini kita dapat mengatasi Kanada dan berada pada kelompok 10 terbaik.

-Advertisement-

“Ini satu penghormatan buat skuad hoki negara dalam perjalanan ke arah pencapaian yang lebih tinggi,” kata Subahan dalam sidang akhbar, semalam.

Pencapaian itu hadir susulan kejayaan terbaharu skuad kebangsaan yang dibimbing Arul Selvaraj dengan menumpaskan pasukan No. 18 dunia, Wales 3-1 dalam aksi persahabatan Siri Jelajah United Kingdom awal pagi semalam.

Tiga gol Malaysian Tigers dalam aksi itu diperoleh menerusi dua jaringan Faizal Saari dan satu daripada Razie Rahim.-UTUSAN ONLINE