KUALA LUMPUR: Bintang filem antarabangsa kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh melakar sejarah apabila menerima bintang di Hollywood Walk of Fame.
Menyifatkan detik itu sebagai ‘gila’ dan ‘tidak nyata’, Yeoh, 64, diraikan dalam suasana penuh emosi dengan kehadiran peminat serta rakan industri yang dianggap sebagai ‘keluarga pilihan’.
Yeoh yang mula menempa nama menerusi filem aksi Hong Kong pada era 1990-an sebelum melonjak sebagai bintang global, mengakui tidak pernah bermimpi untuk memiliki bintang sendiri di Hollywood Boulevard.
“Bintang itu mungkin satu simbol, tetapi ia mewakili begitu ramai insan yang memungkinkan perjalanan (dalam bidang seni) ini.
“Saya harap ia juga mengingatkan seseorang, di suatu tempat, bahawa segalanya adalah mungkin. Tempat kita bermula tidak menentukan sejauh mana kita boleh pergi,” katanya.
Pelakon filem Everything Everywhere All at Once itu turut mendedikasikan kejayaan berkenaan kepada ibunya serta mendiang bapanya dengan menyifatkan ia sebagai ‘bintang kita’.
-Advertisement-
Majlis penganugerahan itu turut dihadiri dua pengarah, Ang Lee dan Jon M Chu yang memberikan ucapan penghormatan buat pemenang Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Akademi (Oscar) 2023 itu.
Lee memuji Yeoh sebagai bintang filem hebat yang memiliki bakat dan profesionalisme tinggi, manakala Chu menyifatkannya sebagai ‘sinar harapan’ yang mencetuskan perubahan generasi dalam industri perfileman dunia.
Yeoh sebelum ini mencipta sejarah sebagai pelakon Asia pertama memenangi Oscar dan membintangi pelbagai filem blockbuster termasuk Crouching Tiger, Hidden Dragon, Tomorrow Never Dies dan Crazy Rich Asians.
Dalam pada itu, Yeoh turut menerima Anugerah Golden Bear Kehormat bagi Pencapaian Sepanjang Hayat sempena Berlin International Film Festival (Berlinale), baru-baru ini.
-Agensi
-BeritaHarian