MARANG: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membelanjakan sebanyak RM150,000 membantu menyelesaikan masalah kejatuhan harga dan lambakan tembikai dihadapi petani.
Pengarah FAMA Terengganu, Muhamad Fadlee Hassan, berkata sebanyak 150,000 tan metrik tembikai merah tanpa biji gred AA dan A sudah dibeli daripada pengusaha, terutama peserta ladang kontrak di daerah Marang.
“Kita menawarkan harga pembelian tembikai merah tanpa biji daripada petani pada harga lantai iaitu RM0.85 sen sekilogram (kg). FAMA turut menambah harga belian sebanyak RM0.20 setiap sekilogram jika pengusaha tanaman berkenaan adalah peserta Skim Persijilan Amalan Pertanian Baik (MyGAP).
“Penetapan harga lantai dilakukan FAMA bagi membantu kestabilan harga sehingga menyebabkan pengusaha menanggung kerugian selain mengelak daripada berlaku lambakan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Muhamad Fadlee berkata, tembikai yang dibeli daripada petani terutama membabitkan peserta ladang kontrak dihantar ke 40 Pusat Operasi FAMA di seluruh negara untuk dipasarkan.
Mengulas dakwaan berlaku kejatuhan harga tembikai, Muhamad Fadlee berkata, berdasarkan laporan hasil pemantauan mendapati terdapat pemborong yang terpaksa melelong tembikai dari luar negeri ini berikutan bekalan berlebihan membabitkan gred B, C dan D.
Di Kuantan, petani menjangka pengeluaran serentak tembikai di Pantai Timur bakal mengundang kerugian pada pekebun, tambahan pula permintaan dan pasaran hasil pertanian itu perlahan pada Ramadan yang mungkin boleh menyebabkan pekebun terpaksa menjualnya dengan harga serendah 40 sen sekilogram seperti tahun lalu.
-Advertisement-
Pekebun Husaini Abdullah, 49, berkata tidak mustahil pengeluaran tembikai secara serentak di Pantai Timur sekali lagi berlaku tahun ini hingga mengundang berlakunya kejadian lambakan buah seterusnya kejatuhan harga yang serius.
“Pengeluaran tembikai jenis boci di Kampung Ubai kini mula berlaku, namun jumlahnya tidak terlalu banyak, hanya beberapa pekebun sahaja menuai hasil dan menjualnya di tepi Jalan Kuantan-Pekan dekat Kampung Ubai. Harga ditawarkan antara RM2 hingga RM2.50 sekilogram.
“Dalam masa dua hingga tiga minggu lagi dijangka pengeluaran akan bertambah dua hingga empat kali ganda, pada masa sama kemasukan tembikai dari Terengganu dan Kelantan juga bertambah. Buah yang banyak menyebabkan harga jatuh,” katanya, dihubungi di sini, hari ini.
Beliau berkata, di Kampung Ubai terdapat lebih 15 penduduk mengusahakan tanaman tembikai dan beliau sendiri
yang mengusahakan tanaman tembikai lebih tiga hektar, tidak menolak pilihan terakhir bagi mengelak menanggung kerugian ialah dengan menjual kepada FAMA pada harga lantai yang ditawarkan.
-BeritaHarian