KUALA KETIL 11 Julai 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pertahanan (MINDEF) meneruskan komitmennya dalam memperkukuh kebajikan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Program Ziarah Kasih sempena Kempen Tabung Pahlawan dengan menziarahi enam veteran serta waris mereka di sekitar Kuala Ketil, Kedah.
Program tersebut diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, YBhg. Datuk Lokman Hakim Ali, sebagai usaha mendekati komuniti veteran secara langsung bagi memahami keperluan serta cabaran yang dihadapi selepas tamat perkhidmatan.
Menerusi program itu, MINDEF turut menilai bentuk bantuan dan sokongan yang diperlukan agar pelaksanaan inisiatif kebajikan dapat disalurkan secara lebih berkesan, responsif dan bersasar demi meningkatkan kesejahteraan veteran serta keluarga mereka.
Usaha berkenaan selaras dengan aspirasi Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026–2030 yang meletakkan pemerkasaan kebajikan Veteran ATM sebagai antara agenda utama dalam membangunkan ekosistem pertahanan negara yang lebih inklusif dan mampan.
-Advertisement-
Menurut kementerian, penghargaan terhadap jasa serta pengorbanan warga veteran bukan sahaja mencerminkan tanggungjawab negara kepada bekas anggota keselamatan, malah memperkukuhkan legasi perkhidmatan, semangat patriotisme dan keyakinan anggota Angkatan Tentera Malaysia terhadap kebajikan mereka sepanjang serta selepas menamatkan perkhidmatan.
Program Ziarah Kasih merupakan antara inisiatif berterusan MINDEF dalam memastikan kebajikan Veteran ATM terus dipelihara menerusi pendekatan yang lebih dekat dengan komuniti serta memberi manfaat kepada mereka yang telah banyak berjasa kepada negara. – The Capital Post