PULAU PINANG, 8 Ogos 2026 (The Capital Post) – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) terus mempergiat usaha memperkukuh sektor semikonduktor dan elektrik serta elektronik (E&E) negara menerusi lawatan kerja Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Datuk Seri Johari Abdul Ghani ke beberapa syarikat peneraju industri di Pulau Pinang.
Lawatan tersebut bertujuan meninjau perkembangan pelaburan, keupayaan teknologi serta potensi pengukuhan rantaian bekalan industri tempatan dalam menyokong pertumbuhan sektor berteknologi tinggi negara.
Turut mengiringi lawatan berkenaan ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Industri) MITI, YBhg. Datuk Hanafi Sakri.
Lawatan dimulakan ke Inari Technology Sdn. Bhd., sebuah syarikat tempatan yang menyediakan perkhidmatan Outsourced Semiconductor Assembly and Test (OSAT) serta Electronic Manufacturing Services (EMS). Dalam sesi tersebut, YB Menteri menerima penerangan mengenai keupayaan syarikat dalam bidang pemasangan dan pengujian semikonduktor serta pengeluaran produk elektronik, sebelum meninjau fasiliti operasi dan mengadakan perbincangan bersama ahli Malaysian American Partnership Chamber (MAPC).
-Advertisement-
Seterusnya, YB Datuk Seri Johari Abdul Ghani melawat fasiliti Micron Memory Malaysia Sdn. Bhd. di Batu Kawan bagi melihat operasi pemasangan dan pengujian semikonduktor berteknologi tinggi yang dilaksanakan syarikat berkenaan.
Micron memainkan peranan penting dalam industri teknologi global melalui penghasilan penyelesaian memori dan storan termaju seperti DRAM, NAND serta solid-state drives (SSD), khususnya bagi memenuhi permintaan sektor pusat data, pengkomputeran awan dan automotif.
Lawatan kerja ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan melalui MITI dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab teknologi serantau, selain menarik pelaburan berkualiti tinggi serta meningkatkan daya saing industri semikonduktor dan E&E negara di peringkat ASEAN. – The Capital Post