MOF Dengar Aspirasi Pemegang Taruh Untuk Belanjawan 2027

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA 15 Ogos 2026 (The Capital Post) – Kementerian Kewangan (MOF) meneruskan usaha mendapatkan pandangan pemegang taruh menerusi Sesi Libat Urus Belanjawan 2027 bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta kumpulan sasar.

Sesi tersebut menghimpunkan kira-kira 250 peserta yang terdiri daripada wakil NGO dan kumpulan sasar KPWKM bagi berkongsi pandangan, pengalaman serta cadangan berdasarkan keperluan masyarakat di lapangan.

Program berkenaan disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, yang turut memberi ruang kepada pemegang taruh menyuarakan pandangan berkaitan isu dan cabaran yang dihadapi oleh kumpulan masyarakat berkenaan.

Kehadiran Pasukan Belanjawan MOF dalam sesi tersebut merupakan sebahagian daripada pendekatan berterusan Kerajaan untuk mendapatkan input secara langsung daripada kementerian, NGO dan kumpulan sasar dalam merangka Belanjawan 2027 yang lebih bersasar serta memberi impak.

-Advertisement-

Pandangan yang dikemukakan akan membantu Kerajaan mengenal pasti keutamaan dan memperhalusi dasar berkaitan kesejahteraan wanita, pengukuhan institusi keluarga serta keperluan kumpulan masyarakat yang memerlukan sokongan.

Proses libat urus ini mencerminkan komitmen Kerajaan untuk memastikan penyediaan Belanjawan 2027 dilaksanakan secara inklusif dan berteraskan keperluan rakyat, sekali gus memastikan sumber negara dimanfaatkan secara optimum dan manfaatnya dapat dirasai oleh golongan yang memerlukan. – The Capital Post