PUTRAJAYA 26 September 2026 (The Capital Post) – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam mengadakan Mesyuarat Kumpulan Kerja Sektoral Vaksin Malaysia 2026 (Malaysia Vaccine Sectoral Working Group – MVSWG 2026) bagi memperkukuh penyelarasan pembangunan ekosistem vaksin negara.
Mesyuarat yang berlangsung pada 25 September 2026 di Bilik Gerakan MOSTI, Putrajaya itu dipengerusikan bersama Ketua Setiausaha MOSTI, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu dan Ketua Setiausaha KKM, YBhg. Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam bin Hj. Ahmad.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) KKM, YBhg. Dato’ Zahrul Hakim bin Abdullah; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) KKM, YBrs. Dr Ismuni bin Bohari; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI, Puan Norsham binti Abdul Latif serta wakil kementerian, jabatan dan agensi yang terlibat dalam pembangunan ekosistem vaksin negara.
MVSWG berperanan sebagai platform penyelarasan strategik antara MOSTI, KKM dan agensi berkaitan bagi memantau pelaksanaan Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) 2021–2030, di samping memperkukuh kerjasama rentas kementerian serta memastikan pembangunan industri vaksin dilaksanakan secara tersusun dan bersepadu.
Antara perkara yang diteliti dalam mesyuarat berkenaan ialah kemajuan inisiatif strategik di bawah PPVN, termasuk pembangunan penyelidikan dan pembangunan (R&D) vaksin, kapasiti pembuatan tempatan, pembangunan modal insan, infrastruktur Amalan Pengilangan Baik (GMP), ekosistem inovasi serta kerjasama strategik di peringkat nasional dan antarabangsa.
-Advertisement-
Perbincangan turut meliputi usaha memperkukuh rantaian nilai pembangunan vaksin melalui pengkomersialan, pelaburan strategik, pembangunan teknologi dan peningkatan daya saing industri, selain mengambil kira perkembangan inisiatif berkaitan Kerangka Pengkomersialan Vaksin Malaysia (KKVM), pembangunan bakat serta pengukuhan kapasiti regulatori negara.
Melalui pelaksanaan PPVN, kerajaan terus berusaha membangunkan keupayaan Malaysia dalam penyelidikan, pembangunan dan penghasilan vaksin tempatan, selaras dengan matlamat memperkukuh kesiapsiagaan negara menghadapi ancaman penyakit berjangkit dan pandemik pada masa hadapan.
Mesyuarat tersebut turut mencerminkan komitmen berterusan MOSTI dan KKM dalam memperkukuh ekosistem vaksin negara secara bersepadu bagi menyokong keselamatan kesihatan serta pembangunan industri vaksin Malaysia. – The Capital Post