PUTRAJAYA 16 Jun 2026 (The Capital Post) – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Malaysia Technology Development Corporation (MTDC) telah menganjurkan Bengkel Pemurnian Kerangka Kedaulatan Teknologi Negara (National Technology Sovereignty Framework – NTSF) Siri 2 Tahun 2026 bagi memperkukuh hala tuju teknologi strategik negara.
Bengkel yang berlangsung di Putrajaya International Convention Centre (PICC) itu bertujuan memperhalusi pelaksanaan strategi nasional ke arah memperkukuh kedaulatan teknologi Malaysia serta meningkatkan keupayaan negara dalam menghadapi cabaran teknologi masa hadapan.
Program berkenaan menghimpunkan wakil daripada Kerajaan Persekutuan, agensi kerajaan, industri dan institusi akademik bagi membincangkan keutamaan serta pendekatan terbaik dalam pembangunan teknologi strategik negara.
Perbincangan memberi tumpuan kepada empat sektor utama yang dikenal pasti sebagai pemacu masa depan ekonomi negara iaitu kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber, semikonduktor dan sensor serta perubatan jitu.
-Advertisement-
Menurut MOSTI, input dan pandangan yang diperoleh sepanjang bengkel akan digunakan bagi memperkemas serta memuktamadkan reka bentuk Kerangka Kedaulatan Teknologi Negara, sekali gus memastikan pelaksanaannya lebih berkesan dan selaras dengan keperluan semasa negara.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh keupayaan teknologi tempatan, mengurangkan kebergantungan kepada teknologi luar serta mewujudkan ekosistem inovasi yang lebih berdaya tahan dan mampan demi kemajuan negara. – The Capital Post