KUALA LUMPUR 21 Ogos 2026 (The Capital Post) – Malaysian Rubber Council (MRC) terus memperkukuh kerjasama dalam industri getah negara menerusi penganjuran MRC Industry Leadership & Networking Dinner yang menghimpunkan pemimpin serta pemain utama sektor tersebut di Kuala Lumpur.
Majlis berkenaan dirasmikan oleh Menteri Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, sebagai platform strategik untuk mempererat hubungan antara kerajaan dan industri, selain membincangkan usaha mempertingkat daya saing sektor getah Malaysia.
Pertemuan itu turut memberi penekanan kepada pengukuhan rantaian nilai, penerapan inovasi, pembangunan rantaian bekalan yang mampan serta usaha memperluas pasaran produk getah Malaysia di peringkat antarabangsa.
Sebanyak lima Memorandum Persefahaman (MoU) strategik turut menyaksikan pertukaran pada majlis tersebut, sekali gus mencerminkan komitmen pemain industri dalam memperluas bentuk kerjasama dan membuka peluang baharu dalam sektor getah.
-Advertisement-
Selain itu, majlis turut mengetengahkan kepentingan amalan buruh beretika dalam industri serta menyaksikan penyampaian Anugerah Biasiswa MRC sebagai sebahagian daripada usaha membangunkan bakat baharu bagi memenuhi keperluan industri pada masa hadapan.
Turut hadir Pengerusi MRC, YBhg. Dato’ Sri Mohamad Suparadi Md Noor; Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), YBhg. Dato’ Yusran Shah Mohd Yusof; serta Ketua Pegawai Eksekutif MRC, Encik Muhammad Eizaaz Muhammad Redzuan.
Kementerian Perladangan dan Komoditi menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh hubungan strategik antara kerajaan dan pemain industri bagi meningkatkan daya saing, kemampanan serta kedudukan industri getah Malaysia dalam pasaran global. – The Capital Post