SABAH 21 Ogos 2026 (The Capital Post) – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, menerima kunjungan hormat Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), YB Datuk Mohamad Alamin, di Menara Kinabalu hari ini bagi membincangkan usaha memperkukuh pembangunan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta gerakan koperasi di negeri berkenaan.
Pertemuan tersebut menjadi platform bagi Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan memperkemas kerjasama dalam memperkasa usahawan tempatan, khususnya golongan penjaja dan pengusaha perniagaan kecil yang menjadi antara penggerak penting ekonomi Sabah.
Perbincangan turut memberi tumpuan kepada usaha memperluas peluang perniagaan serta mewujudkan ekosistem keusahawanan yang lebih kondusif bagi membantu lebih ramai rakyat Sabah mengembangkan perniagaan dan meningkatkan pendapatan.
Kerjasama antara kedua-dua pihak dilihat penting dalam memastikan pelbagai bentuk sokongan dan peluang dapat disalurkan secara lebih berkesan kepada usahawan tempatan, di samping merangsang pertumbuhan ekonomi negeri.
-Advertisement-
Dalam pertemuan itu, Ketua Menteri Sabah turut menghargai komitmen KUSKOP dan agensi berkaitan dalam menyokong pembangunan sektor keusahawanan serta gerakan koperasi di Sabah.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Saidatu Akhma Hassan; Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Leftenan Jeneral (Bersara) Datuk Ahmad Norihan Jalal; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kewangan, Tuan Haji Yusoff Awang; Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Puan Viviante Sarjuni serta wakil Amanah Ikhtiar Malaysia dan Bank Rakyat.
Pertemuan tersebut diharap dapat memperkukuh penyelarasan antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam memperluas akses kepada peluang perniagaan, pembiayaan serta sokongan pembangunan bagi usahawan Sabah, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif. – The Capital Post