‘Najib masih cirit-birit, perbicaraan 1MDB ditangguh’

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang diberi cuti sakit selama dua hari sehingga semalam kerana masalah cirit-birit dan kekurangan air, masih dalam rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

-Advertisement-

Pada 9 April lalu, Hakim Mahkamah Rayuan yang bertindak sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah, menangguhkan perbicaraan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selepas Pakar Perubatan Klinikal HKL, Dr Mohd Fadli Zil Ikram Karim, memberikan cuti sakit selama dua hari kepada Najib.

Keadaan Najib yang masih dalam rawatan di HKL kerana mengalami masalah sama disahkan Dr Mohd Fadli ketika dipanggil memberikan penjelasan mengenai keadaan bekas perdana menteri itu di Mahkamah tinggi hari ini.

Dr Mohd Fadli memberitahu, ketika membuat rutin rondaan klinikal pada jam 7.20 pagi tadi, Najib yang diperiksa olehnya mengadu masalah cirit-birit.

“Kami merumuskan, beliau masih mempunyai masalah cirit-birit yang aktif. Selepas membuat pemeriksaan, kami dapati beliau berisiko tinggi untuk mengalami masalah kekurangan air dan risiko tekanan darah rendah.

-Advertisement-

“Dengan itu, beliau tidak sihat untuk hadir perbicaraan pada hari ini dan selepas berbincang dengan perunding HKL, kami memutuskan memberikan cuti sakit hari ini,” katanya.

Sequerah kemudian menangguhkan perbicaraan hari ini dan prosiding akan bersambung pada 21 Jun depan dengan pendakwaan memanggil saksi baharu.

Najib berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama. – Berita Harian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373