NewJeans, Jisoo, BTS raih trofi MAMA 2023

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Kumpulan K-pop wanita, NewJeans dan anggota Blackpink, Jisoo antara artis yang mengungguli Anugerah Mnet Asian Music Awards (MAMA) 2023 yang disiarkan secara langsung dari Tokyo Dome, Jepun, kelmarin.

-Advertisement-

NewJeans diangkat sebagai Artis Terbaik, Kumpulan Wanita Terbaik dan Lagu Terbaik serta Persembahan Tarian Kumpulan Wanita Terbaik menerusi lagu Ditto.

Bagaimanapun, NewJeans tidak hadir ke acara berkenaan.

-Advertisement-

Lagu kumpulan ini, Ditto merekodkan pencapaian luar biasa dengan lebih 400 juta strim dan menduduki tempat teratas di Billboard 200 selepas hanya setahun kemunculan mereka, lantas mendominasi pelbagai carta domestik.

Jisoo pula dinobatkan sebagai Artis Wanita Terbaik serta membawa pulang trofi bagi kategori Muzik Video Terbaik dan Persembahan Tarian Solo Wanita Terbaik menerusi lagu Flower.

Tidak kurang hebat, anggota kumpulan popular BTS iaitu Jungkook memenangi kategori Persembahan Tarian Solo Lelaki Terbaik menerusi lagu Seven.

Lagu yang menyaksikan kerjasama dengan Latto itu turut diumum Kolaborasi Terbaik, manakala Jimin diangkat sebagai Artis Lelaki Terbaik.
MAMA 2023 berlangsung dua malam dengan pada malam pembukaan, BTS merangkul anugerah utama Samsung Galaxy Worldwide Icon of The Year buat kali keenam dan kategori Worldwide Fans Choice, manakala pada malam kedua, lagu BTS berjudul The Planet pula diumum pemenang kategori Runut Bunyi Terbaik.

Seventeen memenangi Album Terbaik menerusi FML serta Kumpulan Lelaki Terbaik dan Persembahan Tarian Kumpulan Lelaki Terbaik melalui lagu Super.

MAMA 2023 juga menyaksikan kategori Artis Baharu Lelaki Terbaik diraih Zerobaseone, manakala Artis Baharu Wanita Terbaik (TripleS), Persembahan Vokal Solo Terbaik (Park Jae Jung/Let’s Say Goodbye), Persembahan Vokal Kumpulan Terbaik (AKMU/Love Lee) dan Persembahan Rap & Hip Hop Terbaik (Agust D/People Part 2).

Kumpulan RIIZE dan ZEROBASEONE diumum pemenang Artis Baharu Kegemaran, Kumpulan Lelaki Asia Kegemaran (INI), Kumpulan Wanita Asia Kegemaran (Kep1er), Artis Antarabangsa Kegemaran (Yoshiki) dan Artis Galaxy New Flip (TREASURE).

Selain itu MAMA 2023 juga menganugerahkan TVXQ trofi Pencapaian Inspirasi.

Pemenang bagi kebanyakan kategori diputuskan menerusi gabungan penilaian panel hakim, muat turun lagu dan jumlah strim bersama dengan jualan album fizikal.

Antara yang membuat persembahan di kedua-dua malam acara itu adalah Lee Young Ji, Yoshiki, TOMORROW X TOGETHER, Jaehyun, Anton, Han Yu Jin, xikers, JO1, INI dan Jeon Somi.

MAMA 2023 turut ditayangkan secara strim langsung di Tonton melalui saluran tvN, bermula dengan tayangan permaidani merah pada jam 3 petang (waktu Malaysia) dan acara anugerah dari jam 5 petang pada kedua-dua hari.
-BeritaHarian