Nilai jualan Bazar Peduli Rakyat lebih RM700,000

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Bazar Peduli Rakyat (BPR) dianjurkan sebanyak 17 kali di sembilan lokasi sejak Februari lalu yang membabitkan nilai jualan lebih RM700,000.

-Advertisement-

Bagi jualan secara dalam talian pula, program terbabit sudah dilaksanakan menerusi Agro Bazar Online yang sehingga kini membabitkan seramai 5,028 usahawan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub, berkata bagaimanapun, kementerian mengkaji untuk menganjurkan BPR lebih kerap, mungkin sebulan sekali, bagi membantu masyarakat mendapatkan barangan harian pada harga yang lebih murah.

Kekerapan itu akan bergantung kepada jumlah usahawan dan nilai jualan.

-Advertisement-

“Maklum balas daripada penganjuran BPR, kita mendapati rakyat sangat gembira dan sering bertanyakan kenapa ia tidak dibuat dengan lebih kerap.

“Kementerian sedang meneliti keberhasilan program ini supaya kita dapat buat secara berkala.

“Saya tidak boleh berjanji hari ini tetapi berdasarkan fakta, jumlah usahawan dan nilai (jualan), kita akan cuba jadualkan semula, paling tidak sebulan sekali,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Abd Latiff Ahmad (PH-Mersing) yang meminta kerajaan menyatakan usaha untuk melaksanakan BPR secara dalam talian.

“Tidak dinafikan ekonomi digital akan menjadi fenomena seperti di China, walaupun jauh di pedalaman, mereka tidak lagi menggunakan tunai sebaliknya membeli (barangan harian) secara atas talian,” katanya. -Bharian