Oniki terkejut cabaran sengit JDT

Estimate Reading Time: 2 minutes

JOHOR BAHRU: Jurulatih Kawasaki Frontale, Toru Oniki tidak menyangka perubahan taktikal ketara Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam tempoh setahun apabila pemainnya dipaksa bekerja keras sebelum menang 1-0 pada aksi pertama Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia malam tadi.

-Advertisement-

Oniki berkata, kemenangan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri itu amat bermakna buat pasukannya dalam kempen kali ini sekali gus mencetus keyakinan untuk melangkah ke pusingan berikutnya.

Pengendali itu juga mengakui kualiti dimiliki JDT jelas berbeza berbanding musim lalu selepas mempamerkan corak permainan berkualiti dan hampir menghukum pasukannya bagi tempoh 20 minit terakhir.

“Ini perlawanan pertama peringkat kumpulan dan kemenangan ini amat bermakna buat kami lebih-lebih lagi berjaya meraih tiga mata di tempat lawan. Ia bukan tugas mudah untuk beraksi di sini dengan sorakan padu penonton yang cuba menjejas tumpuan pemain.

“Selain faktor persekitaran, JDT juga mempamerkan permainan berkualiti dan berintensiti tinggi, mereka lebih bagus berbanding tahun lalu. Jadi, saya amat berpuas hati dapat membawa pulang tiga mata malam ini, kejayaan ini juga untuk penyokong yang sudi terbang dari Jepun untuk memberi sokongan,” katanya.

Oniki menjelaskan, beliau sengaja menukar rentak permainan kepada corak ‘berkampung’ di kawasan sendiri pada 10 minit terakhir kerana tidak mahu mensia-siakan peluang mengutip tiga mata.

-Advertisement-

“Ya, ia arahan saya untuk banyak bertahan pada minit-minit akhir, kalau boleh saya nak teruskan menyerang tetapi kami tidak mahu mengambil risiko dibolosi lawan. Memandangkan kami sudah mendahului, keutamaan kami adalah untuk pertahankan kelebihan dan semuanya berjalan mengikut perancangan,” katanya.

Jurulatih itu turut memuji penyerang muda JDT, Arif Aiman Hanapi yang berjaya beberapa kali mengucar-ngacirkan benteng pertahanannya.

“Pemain nombor 42 seorang pemain yang berbakat, saya tahu kemampuannya dan mengarahkan pemain untuk mengawalnya namun dia masih mampu untuk melakukan serangan, menggelecek dan melakukan percubaan terus ke gawang.”

Pada pertembungan Liga Juara-Juara Asia tahun lalu, JDT dan Kawasaki Frontale seri 0-0 pada aksi pertama sebelum kelab Jepun itu menang besar 5-0 pada aksi kedua.

Kedua-dua perlawanan diadakan di Stadium Sultan Ibrahim ketika JDT dipilih sebagai tuan rumah bagi peringkat kumpulan.
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373