Padang MBK 1 dibuka sepenuhnya untuk berbuka puasa tahun ini

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUANTAN: Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) membenarkan aktiviti berbuka puasa di Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 1 sepanjang Ramadan ini yang dijangka mula disambut pada Khamis ini.

-Advertisement-

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MBK, Norkamawati Kamal, berkata tiada syarat ditetapkan kepada pengunjung yang ingin berbuka puasa di padang berkenaan.

Katanya, orang ramai boleh memiliki tempat di padang dan meletakkan tikar untuk berbuka puasa.

“Orang ramai tidak perlu lagi membuat tempatan awal seperti yang dilaksanakan pada tahun lalu bagi mengelak dijangkiti wabak COVID-19.

“Pada Ramadan tahun ini, tiada prosedur operasi standard (SOP) dan orang ramai boleh memilih tempat seperti sebelum wabak COVID-19.

“Bagaimanapun, MBK menasihati orang ramai supaya menjaga disiplin ketika berada di padang termasuk membuang sampah ke dalam tong sampah yang disediakan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tahun lalu, kerajaan negeri membenarkan aktiviti berbuka puasa di padang MBK 1 sepanjang Ramadan.

-Advertisement-

Bagaimanapun, orang ramai yang ingin berbuka puasa di padang itu perlu membuat tempahan awal dengan menyediakan 136 lot.

Tempoh masa yang dibenarkan berada di padang berkenaan bermula dari jam 6 petang sehingga jam 8.30 malam.

Padang MBK 1 menjadi pilihan utama untuk berbuka puasa kerana terletak bersebelahan dengan Bazar Ramadan Mahkota Square dan Masjid Negeri Sultan Ahmad 1.

Ia memudahkan masyarakat Islam untuk menunaikan solat Maghrib selepas berbuka puasa. – Berita Harian