PCG Catat Keuntungan RM427 Juta

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR 24 Mei 2026 (The Capital Post)PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) mencatat keputusan kewangan memberangsangkan bagi suku pertama tahun kewangan 2026 dengan kadar penggunaan loji mencecah 97 peratus serta peningkatan pendapatan meskipun berdepan ketidaktentuan pasaran global.

Prestasi syarikat turut dipengaruhi oleh gangguan bekalan global susulan konflik di Asia Barat yang menyumbang kepada peningkatan harga tenaga dan produk dalam pasaran antarabangsa.

PCG merekodkan pendapatan sebanyak RM7.0 bilion bagi 1Q 2026, meningkat berbanding RM6.6 bilion pada suku sebelumnya, disokong oleh harga purata produk komoditi yang lebih tinggi serta prestasi kukuh dalam segmen bahan kimia khusus.

Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) turut meningkat kepada RM1.175 bilion, dipacu oleh margin produk yang lebih baik, penurunan kos operasi serta sumbangan lebih tinggi daripada portfolio bahan kimia khusus.

Keuntungan selepas cukai (PAT) juga menunjukkan pemulihan ketara kepada RM427 juta, berbanding kerugian RM730 juta pada suku keempat 2025, disokong oleh prestasi operasi yang lebih stabil serta kerugian pertukaran mata wang asing yang lebih rendah.

Bagi segmen komoditi, segmen Baja & Metanol mencatat kadar penggunaan loji tinggi sebanyak 103 peratus dengan peningkatan harga urea dan metanol masing-masing sebanyak 18 peratus dan 13 peratus.

-Advertisement-

Segmen Olefin & Derivatif pula mencatat penggunaan loji 87 peratus susulan aktiviti penyelenggaraan berjadual, namun menunjukkan peningkatan prestasi dari segi pendapatan dan margin berbanding suku sebelumnya.

Sementara itu, segmen Bahan Kimia Khusus mencatat peningkatan jualan sebanyak 17 peratus didorong oleh pemulihan permintaan pelanggan serta inisiatif pengoptimuman kos yang berterusan.

Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Mazuin Ismail berkata, ketidaktentuan geopolitik global terus memberi cabaran kepada industri namun model operasi bersepadu syarikat membantu mengekalkan kestabilan rantaian bekalan dan daya tahan perniagaan.

Menurut beliau, syarikat kekal komited terhadap kecemerlangan operasi, pengurusan kos berdisiplin serta pelaksanaan penilaian portfolio bagi memastikan daya saing jangka panjang.

PCG turut menjangkakan persekitaran operasi kekal mencabar dipengaruhi faktor geopolitik, gangguan rantaian bekalan serta permintaan global yang tidak menentu, namun terus memberi tumpuan kepada pengukuhan operasi dan disiplin kewangan. – The Capital Post