KUALA LUMPUR 21 Julai 2026 (The Capital Post) – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempertingkatkan kawalan keselamatan di kawasan sempadan negara menerusi kerjasama bersepadu antara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) serta Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi mengekang aktiviti sindiket jenayah rentas sempadan.
Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keselamatan sempadan negara merupakan tanggungjawab besar dalam mempertahankan kedaulatan Malaysia dan usaha memperkukuh keupayaan pasukan keselamatan akan terus diberi keutamaan bagi memastikan ancaman jenayah dapat ditangani secara berkesan.
Beberapa kawasan di utara Semenanjung Malaysia dikenal pasti sebagai lokasi berisiko yang sering menjadi tumpuan sindiket berikutan kedudukan geografi, kewujudan laluan tidak sah serta cabaran bentuk muka bumi. Antara kawasan yang diberi perhatian termasuk Taman Radzi, Felda Mata Air, Wang Kelian, Bukit Kuan Chu, KTM Padang Besar, Ladang Chuping, Bukit Kayu Hitam, Kota Putra, Durian Burung dan Baling.
Bagi memastikan kawalan keselamatan berada pada tahap optimum, PDRM melalui KDNKA bersama PGA melaksanakan pelbagai tindakan termasuk rondaan berkala, operasi risikan, sekatan jalan raya, pemantauan laluan berisiko serta operasi bersama agensi penguatkuasaan lain di sepanjang kawasan pintu masuk sempadan Malaysia – Thailand.
-Advertisement-
Antara aktiviti jenayah rentas sempadan yang sering dikesan termasuk kes pemerdagangan manusia, penyeludupan migran, dadah, barangan kontraban, senjata api serta penyeludupan bahan api bersubsidi.
Menurut Timbalan Pengarah KDNKA Bukit Aman, Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi, pendekatan penguatkuasaan secara menyeluruh dan berterusan penting bagi memastikan kawasan sempadan negara kekal selamat daripada ancaman sindiket jenayah yang boleh menjejaskan keselamatan awam.
KDN menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh kerjasama antara agensi keselamatan dalam memastikan kedaulatan sempadan Malaysia terpelihara serta menjamin keamanan dan kesejahteraan rakyat. – The Capital Post