BACHOK 21 Julai 2026 (The Capital Post) – Sekumpulan murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Golok berpeluang menimba pengalaman secara langsung mengenai tugas dan tanggungjawab Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi lawatan sambil belajar ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok.
Ketibaan rombongan disambut oleh Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin yang turut meluangkan masa beramah mesra bersama para murid serta guru pengiring.
Program berkenaan diadakan bagi memberikan pendedahan awal kepada murid mengenai fungsi PDRM dalam memastikan keselamatan awam, mengekalkan keamanan serta menguatkuasakan undang-undang di negara ini.
-Advertisement-
Sepanjang lawatan, para murid diberi penerangan mengenai pelbagai aspek tugasan anggota polis selain berpeluang melihat dengan lebih dekat aset dan kenderaan yang digunakan dalam operasi harian pasukan keselamatan itu.
Malah, mereka turut diberi peluang menaiki beberapa kenderaan polis, sekali gus memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih interaktif dan menyeronokkan. Aktiviti tersebut bukan sahaja menambahkan pengetahuan murid mengenai dunia kepolisan, malah diharap dapat menyemai rasa hormat terhadap pasukan keselamatan serta mencetuskan minat untuk menceburi kerjaya dalam bidang penguatkuasaan pada masa hadapan. – The Capital Post