PDRM Semarak Bulan Kebangsaan, 30 Pegawai Terima Pangkat

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR 12 Ogos 2026 (The Capital Post) – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperteguh komitmen mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara menerusi Majlis “Flag Off” Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat PDRM Tahun 2026 yang berlangsung di Ibu Pejabat PDRM Bukit Aman semalam, 11 Ogos 2026.

Ketua Polis Negara, IG Tan Sri Dato’ Seri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail, berkata kemerdekaan negara merupakan hasil pengorbanan generasi terdahulu dan amanah tersebut perlu terus dipelihara menerusi usaha memastikan keselamatan, keamanan serta kesejahteraan rakyat.

Beliau turut menyempurnakan penyerahan Jalur Gemilang dan pelepasan konvoi yang membabitkan 20 kenderaan Unit Ronda Bermotosikal serta Unit Kereta Peronda PDRM. Konvoi berkenaan menyusuri beberapa laluan sekitar Kuala Lumpur sebagai simbolik pembukaan sambutan Bulan Kebangsaan di peringkat PDRM.

Program tersebut turut membawa mesej patriotisme dan kecintaan terhadap tanah air, selain mengajak masyarakat mengibarkan Jalur Gemilang sebagai lambang perpaduan, kesetiaan serta kebanggaan sebagai rakyat Malaysia.

Dalam majlis sama, Ketua Polis Negara turut menyempurnakan Majlis Pemakaian Lencana Pangkat Pegawai Kanan Polis dan Pangkat Kehormat di Mes Pegawai Kanan PDRM.

Seramai 30 pegawai kanan menerima pemakaian pangkat baharu, terdiri daripada dua Komisioner Polis (CP), tiga Deputi Komisioner Polis (DCP), 12 Senior Asisten Komisioner (SAC) dan 13 Asisten Komisioner Polis (ACP), selaras dengan arahan pertukaran pegawai kanan yang diumumkan sebelum ini.

Antara pegawai yang menerima kenaikan pangkat ialah Timbalan Pengarah (Gerakan/Operasi) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, CP Dato’ Muhammad Abdul Halim, serta Timbalan Pengarah Cawangan Khas I Bukit Aman, CP Dato’ Mohd Taufik Toh Abdullah.

-Advertisement-

Pangkat DCP pula disandang oleh Timbalan Pengarah Forensik/Perancangan Strategik Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohamad Farouk Eshak; Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mohd Azhar Hamin; serta Ketua Penolong Pengarah E6 Cawangan Khas Bukit Aman, Tuan Roslan Alias.

Turut diberi pengiktirafan ialah tiga individu melalui penganugerahan pangkat kehormat atas sumbangan dalam memperkukuh kerjasama bersama PDRM, khususnya dalam bidang keselamatan siber, pencegahan jenayah dalam talian dan pemeliharaan ketenteraman awam.

Timbalan Pengarah Urusan (Kawal Selia) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Ts. Dr. Mohamed Sulaiman Sultan Suhaibuddeen, dianugerahkan pangkat ACP Kehormat, manakala Naib Presiden Persatuan Industri Keselamatan Malaysia, Puan Aini Suraya Datuk Osman dan Ahli Jawatankuasa persatuan berkenaan, Encik Adila Dato’ Abdullah, masing-masing menerima pangkat DSP Kehormat.

Dalam ucapannya, Tan Sri Dato’ Seri Hj. Mohd Khalid menyifatkan penganugerahan tersebut sebagai tanda penghargaan PDRM terhadap dedikasi dan sumbangan pegawai serta individu yang memainkan peranan dalam memperkukuh keupayaan pasukan.

Beliau turut mengingatkan semua penerima supaya melaksanakan amanah dan kepercayaan yang diberikan dengan penuh tanggungjawab demi membawa perubahan positif serta memperkukuh perkhidmatan PDRM kepada rakyat dan negara.

Majlis turut dihadiri Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, CP Dato’ Sri Ibrahim Darus, barisan pengarah dan timbalan pengarah PDRM, Ketua Polis Kuala Lumpur, CP Dato’ Fadil Hj. Marsus, Setiausaha Polis Malaysia, DCP Dato’ Mohamad Noor Yusof serta wakil media. – The Capital Post