Pegawai MoF Diiktiraf Sebagai Munsyi Muda Bahasa

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 31 Oktober 2026 – Beberapa pegawai Kementerian Kewangan (MoF) menerima Watikah Pelantikan dan Pentauliahan Munsyi Muda Bahasa bagi tahun 2025 dan 2026 dalam satu majlis yang berlangsung pada 28 Oktober 2026 di Dewan Serbaguna, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Bukit Kiara.

Majlis penyampaian watikah tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Jabatan Perkhidmatan Awam, YBhg. Dato’ Mohd Shaiful bin Ibrahim.

Penyampaian watikah itu merupakan sebahagian daripada Program Serambi Budi Daya Munsyi Muda Bahasa Tahun 2026 anjuran Unit Kecemerlangan Komunikasi dan Bahasa Melayu, Pusat Pengajian Komunikasi dan Bahasa, INTAN dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Pelantikan Munsyi Muda Bahasa merupakan inisiatif penting dalam memperkasakan penggunaan bahasa Melayu yang betul dan berkesan dalam perkhidmatan awam, khususnya bagi urusan pentadbiran, penyediaan dokumen rasmi serta komunikasi organisasi.

Selain itu, Munsyi Muda Bahasa turut berperanan sebagai sumber rujukan, penasihat dan pembimbing bahasa di kementerian serta jabatan masing-masing bagi memastikan penggunaan bahasa Melayu yang berkualiti terus diamalkan.

-Advertisement-

Pencapaian warga MoF turut terserlah apabila Puan Norafifah binti Suboh daripada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) diiktiraf sebagai Peserta Terbaik Munsyi Muda Bahasa Tahun 2025. Pengiktirafan tersebut mencerminkan komitmen dan kecemerlangan pegawai kementerian dalam memperkukuh penguasaan serta penggunaan bahasa Melayu.

Program berkenaan turut melakar sejarah apabila memperoleh pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBoR) menerusi penyertaan seramai 2,106 peserta dalam aktiviti rujukan kamus terbesar.

Pencapaian tersebut mencerminkan komitmen bersama pelbagai pihak dalam menyemarakkan kecintaan terhadap bahasa Melayu serta memartabatkannya sebagai bahasa utama dalam urusan rasmi dan komunikasi perkhidmatan awam.

Pengiktirafan dan pencapaian ini diharap dapat menjadi inspirasi kepada seluruh warga Kementerian Kewangan untuk terus memperkukuh budaya kerja profesional serta kecemerlangan komunikasi melalui penggunaan bahasa Melayu yang tepat dan berkesan. – The Capital Post