KKR Perkukuh Kesejahteraan Mental Warga Kerja

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 31 Oktober 2026 – Kementerian Kerja Raya (KKR) terus memberi perhatian terhadap kesejahteraan warga kerja menerusi pelaksanaan Program Walkabout Kesejahteraan Warga Kerja KKR Siri 1, sebagai usaha membentuk persekitaran kerja yang positif, harmoni dan saling menyokong.

Program anjuran Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) KKR itu dilaksanakan bersempena Sambutan Bulan Kaunseling Kebangsaan Peringkat KKR Tahun 2026 dengan pendekatan santai, mesra dan bersahaja bagi mendekati warga kerja kementerian.

Menerusi program tersebut, Ketua Setiausaha KKR, YBhg. Dato’ Seri Azman Ibrahim, meluangkan masa mengunjungi setiap bahagian untuk bertanya khabar serta menyampaikan amanat mengenai kepentingan menjaga kesejahteraan mental.

Beliau turut mengedarkan cenderahati kepada warga kerja yang disertakan dengan mesej positif sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan dan kesejahteraan mereka.

-Advertisement-

Pendekatan seumpama ini diharap dapat menyemai budaya kerja yang lebih prihatin, menggalakkan komunikasi terbuka serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kesihatan mental dan kesejahteraan emosi.

KKR menekankan bahawa warga kerja yang sejahtera bukan sahaja berupaya meningkatkan produktiviti dan daya tahan, malah menjadi asas kepada pembentukan organisasi yang tangkas, positif dan berprestasi tinggi. – The Capital Post