Pelajar tidak divaksin boleh ke sekolah

Estimate Reading Time: 2 minutes

SEREMBAN: Kementerian Pendidikan (KPM) tidak akan mengasingkan pelajar yang tidak menerima vaksin, sebaik sesi persekolahan bersemuka secara berperingkat bermula 3 Oktober ini.

-Advertisement-

Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata pihaknya tidak akan melakukan diskriminasi terhadap pelajar terbabit, namun akan terus berusaha menggalakkan semua atau 100 peratus pelajar mengambil vaksin.

Beliau berkata, setakat ini, hanya sebilangan kecil pelajar di negara ini yang enggan menerima suntikan vaksin COVID-19 atas alasan belum bersedia dan bukan menolak sepenuhnya.

“Kita belum ada statistik sebenar mengenai mereka yang menolak vaksin kerana Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) peringkat remaja masih berjalan.

“Kita tidak menolak kemungkinan ada kalangan pelajar yang menolak suntikan vaksin atas sebab tertentu, termasuk belum bersedia.

“Namun, secara keseluruhannya majoriti pelajar setuju menerima vaksin. Kementerian akan terus berusaha memberikan penerangan dan menyalurkan segala maklumat mengenai keperluan pelajar mengambil vaksin menerusi rakan sebaya dan ibu bapa mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Majlis Bandaraya Seremban (MBS), di sini, hari ini.

Hang Soon berkata, hasil lawatan beliau ke beberapa PPV di seluruh negara bagi program PICK remaja mendapati, majoriti pelajar melahirkan rasa tidak sabar untuk ke sekolah.

-Advertisement-

Katanya, situasi itu menunjukkan semangat dan komitmen mereka terhadap kepentingan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersemuka di sekolah berbanding pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“Ini akan menggalakkan mereka menerima suntikan vaksin. Malah, setakat petang semalam, bilangan pelajar berusia 12 tahun hingga 17 tahun yang sudah menerima vaksin amat memberangsangkan.

“Sebanyak 33.3 peratus sudah menerima dos pertama, manakala 4.5 peratus pula melengkapkan kedua-dua dos,” katanya.

Selain itu, Hang Soon berkata, sehingga kini pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai kesan sampingan bagi pelajar yang sudah menerima vaksin.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa atau penjaga supaya segera membawa anak mereka ke hospital atau Pusat Kesihatan Daerah (PKD) berhampiran bagi mendapatkan pemeriksaan jika anak mereka mengalami kesan atau gejala tertentu selepas divaksin.

Pada masa sama, katanya, data di aplikasi MySejahtera perlu dikemas kini bagi memastikan kelangsungan dan menilai kejayaan PICK remaja. -BH