SHAH ALAM 29 Jun 2026 (The Capital Post) – Pelancaran Laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Shah Alam hari ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkukuh sistem pengangkutan awam negara yang lebih moden, efisien dan bersepadu bagi manfaat rakyat.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata pelaksanaan projek berkenaan bukan sekadar menambah kemudahan mobiliti, malah memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat melalui penambahbaikan akses perjalanan yang lebih pantas, selesa dan boleh dipercayai.
Menurut beliau, kemudahan LRT3 dijangka membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas serta mengurangkan kebergantungan terhadap kenderaan persendirian, sekali gus menjimatkan masa dan kos perjalanan harian pengguna di sepanjang jajaran laluan tersebut.
Pada masa sama, projek berkenaan turut dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi setempat melalui konsep pembangunan berorientasikan transit (TOD), yang akan merangsang kemasukan pelaburan baharu, memperluas peluang perniagaan serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di kawasan terlibat.
-Advertisement-
Selain itu, jaringan pengangkutan awam yang lebih menyeluruh juga dilihat mampu meningkatkan akses rakyat kepada pelbagai kemudahan asas termasuk pekerjaan, pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan penting lain, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup secara lebih inklusif.
Kerajaan MADANI, menurut beliau, kekal komited untuk terus melaksanakan agenda pembangunan berteraskan keperluan rakyat, memperkukuh daya tahan ekonomi negara serta memastikan setiap projek infrastruktur memberi manfaat jangka panjang kepada seluruh lapisan masyarakat. – The Capital Post