Pembikin filem kena selit budaya dalam karya

Estimate Reading Time: 3 minutes

KUALA LUMPUR: Filem mempunyai peranan penting dalam memupuk kesedaran masyarakat untuk terus memartabatkan seni dan budaya yang menjadi khazanah negara.

-Advertisement-

Melihatkan kepentingan filem, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memberi fokus dalam mengangkat budaya menerusi kesusasteraan, iaitu Sharpened Word dan JHexa Business Intelligence menganjurkan program Forum dan Dialog Bersama Penggiat Filem Malaysia: Seni Budaya Dalam Filem di Hulu Kelang, Selangor, Sabtu lalu.

Antara perkara menjadi kupasan sepanjang program itu adalah mengenai langkah yang sepatutnya diambil setiap pembikin filem untuk menyelitkan elemen kebudayaan dalam setiap karya agar legasinya mampu diteruskan generasi muda.

Pengarah dan penulis skrip, Al Jafree Md Yusop yang dibesarkan dalam suasana dan industri perfileman sejak kecil, percaya filem adalah sebahagian daripada seni dan budaya yang boleh dimanfaatkan masyarakat.

“Kalau lihat negara seperti Amerika Syarikat (AS), Korea Selatan dan Jepun memanfaatkan medium perfileman yang mampu mempromosikan budaya mereka untuk tontonan kepada masyarakat luar.

“Sebagaimana kata-kata Presiden Institut Filem Amerika (AFI), Bob Gazzale, filem mencerminkan masyarakat. Kalau mahu lihat tahap masyarakat itu di mana, berdasarkan kepada filem. Kalau kita lihat seperti itu, agak sedih juga (masyarakat kita).

“Jadi, disebabkan itu forum ini juga sangat penting kerana membabitkan seni dan budaya,” katanya ketika memberi pandangan pada Forum dan Dialog Bersama Penggiat Filem Malaysia: Seni Budaya Dalam Filem di Pawagam Mini P Ramlee, Kompleks Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) Hulu Kelang, Sabtu lalu.

Forum dan dialog itu mengupas tiga tajuk, iaitu Penceritaan dan Perincian Seni Budaya Dalam Pembikinan Filem; Cerapan Budaya, Nilai dan Semangat Dalam Filem serta Pelestarian Seni dan Budaya Menerusi Filem.

Selain Al Jafree, forum itu menampilkan empat panelis lain iaitu pengarah dan penulis skrip, Jason Chong; bapa animasi, Hassan Muthalib; pengarang hikayat tradisional, Ninot Aziz dan penerbit dan pengarah, Kabir Bhatia.

Forum itu turut dihadiri Pengerusi FINAS, Datuk Kamil Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib termasuk beberapa penggiat industri perfileman lain.

Al Jafree yang juga bekas pensyarah berkata, antara usaha boleh dilakukan supaya dapat membantu generasi muda lebih mengenali budaya tempatan adalah dengan menyediakan platform yang memudahkan mereka untuk menonton filem lama.

“Kita perlu sediakan platform yang membantu dan memudahkan anak muda untuk mencari dan menonton filem lama. Dengan cara itu, mereka boleh kenal dengan lebih dalam mengenai budaya di negara ini.

“Kadang-kadang saya selalu cerita mengenai filem lama kepada pelajar ketika menjadi pensyarah dahulu, tetapi apabila mereka tanya mahu tonton di mana, saya tak dapat berikan jawapan.

“Disebabkan tiada platform seperti itu, maka, kita tidak boleh salahkan sepenuhnya generasi muda apabila mereka tak berminat untuk ambil tahu,” katanya.

-Advertisement-

Sementara itu, Chong berpendapat, pembikin filem seharusnya lebih mempergiat usaha untuk cuba mengetengahkan identiti sebenar masyarakat berbilang bangsa dan kaum di Malaysia.

“Kadang-kadang pembikin filem tidak cuba untuk mengetengahkan identiti sebenar masyarakat berbilang bangsa dan kaum di Malaysia.

“Saya rasa itu sepatutnya diterapkan dalam filem tempatan. Sebagai pembikin filem, saya fikir perlu menghasilkan karya yang mampu dijadikan sebagai arkib negara.

“Ini kerana, berkemungkinan generasi akan datang lebih kurang bercakap dengan menggunakan dialek yang ada di Malaysia.

“Jadi, bagi saya, dengan menghasilkan filem diselitkan dengan elemen budaya mampu mempertahankan identiti kita sebagai masyarakat Malaysia yang majmuk,” katanya.

Chong yang juga pengarah filem Gemencheh Boys berkata, seni dan budaya akan dapat terus dimartabatkan sekiranya setiap pengkarya atau pembikin filem konsisten dalam menghasilkan filem dengan elemen sedemikian.

“Perkara ini akan dapat direalisasikan sekiranya masih ada pengkarya yang mahu mengambil langkah sedemikian.

“Setiap pengkarya juga perlu berusaha untuk mengetengahkan karya yang menonjolkan budaya, tradisi dan warisan menerusi filem mereka,” katanya.

Ninot yang turut berkongsi pandangan berkata, cerita rakyat yang sarat dengan pengajaran serta elemen kebudayaan perlu diberi keutamaan untuk diangkat menjadi filem. Usaha itu baginya mampu memupuk kesedaran dalam kalangan penonton di negara ini.

“Saya tidak pasti mengapa cerita rakyat atau kisah lama masyarakat kita selalu diketepikan, walaupun boleh dikatakan sangat bermutu tinggi. Malah, ada antara cerita berkenaan menerima penghormatan daripada badan-badan tertentu.

“Jadi, apabila saya berkarya, saya tulis hasil inspirasi daripada tukang cerita lama yang terkandung dalam manuskrip lama. Ini bukan mengenai tahap relevan sesuatu karya itu, tetapi bagaimana ia bermula,” katanya.

Rumusan forum akan didokumentasikan bagi tujuan pengembangan ilmu kepada masyarakat.

Forum mendapat Geran Sokongan Sektor Kebudayaan di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373