KUALA LUMPUR, 12 November 2026 (The Capital Post) – Ahli Majlis Tertinggi Pemuda MIC Kebangsaan, SR Chandrathevan atau Nilavan, mempersoalkan pendirian pemimpin masyarakat India dalam Pakatan Harapan (PH) susulan dakwaan bekas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, memakai kasut ketika menyalakan pelita tradisional masyarakat India, Kuthu Vilakku, dalam satu majlis sambutan Deepavali.
Menerusi kenyataan media, Chandrathevan menggesa pemimpin masyarakat India dalam PH, khususnya DAP, memberikan penjelasan berhubung isu sensitiviti agama dan kebudayaan yang dibangkitkannya.
Beliau mendakwa beberapa pemimpin PH sebelum ini lantang mengkritik kerajaan Barisan Nasional (BN) apabila timbul isu melibatkan sensitiviti agama dan kebudayaan masyarakat India.
Bagaimanapun, beliau mempersoalkan sama ada prinsip yang sama turut diamalkan apabila isu seumpama itu membabitkan pemimpin daripada gabungan politik sendiri.
Chandrathevan yang juga Ketua Pemuda MIC Bahagian Hulu Langat berkata, persoalan tersebut dibangkitkan bukan bertujuan mencari kesalahan mana-mana individu, sebaliknya bagi menekankan kepentingan menghormati agama, adat dan kebudayaan masyarakat lain.
-Advertisement-
Menurut beliau, prinsip menghormati kepercayaan dan amalan budaya tidak seharusnya berubah berdasarkan kedudukan atau hubungan politik seseorang.
Beliau turut menegaskan bahawa masyarakat berhak mendapat penjelasan daripada pemimpin berkaitan isu yang dibangkitkan.
Kenyataan itu dibuat susulan kehadiran Loke pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan dan Sambutan Deepavali Cahaya Kasih MADANI di Putrajaya pada 11 November.
Loke yang meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan sehari sebelum majlis berkenaan telah menyalakan pelita tradisional sebelum memasuki dewan acara.– The Capital Post