PEMULIH beri sinar kepada peniaga terjejas

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) boleh dianggap sebagai ‘pendorong’ kepada golongan peniaga yang amat terkesan pada masa ini.

-Advertisement-

Ketua Unit Penyelidikan Risiko Ekonomi dan Politik, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin, berkata bantuan yang diberikan kepada peniaga adalah begitu penting sementara menunggu tahap imuniti kelompok dicapai dan juga peralihan ke fasa keempat dalam konteks Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ini kerana, katanya, hampir kesemua golongan rakyat membabitkan kumpulan rentan, B40, M40, malah T20 mendapat manfaat, secara langsung atau sebaliknya.

“Begitu juga peniaga, daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sehinggalah PKS Mikro (PKSM) daripada pelbagai sektor serta industri yang begitu terkesan akibat daripada sekatan pergerakan dilaksanakan,” katanya kepada BH.

Beliau berkata, PEMULIH turut melihat kepada aspek sosial selain memberikan tumpuan kepada aspek ekonomi.

“Namun begitu, apa yang lebih pentingadalah usaha untuk mempercepatkan program vaksinasi.

“Inilah kunci untuk kita melawan wabak ini secara yang mampan dan tuntas supaya apabila imuniti kelompok dapat dicapai, proses pemulihan ekonomi, dalam konteks strategi 6R, dapat diteruskan kepada peringkat 2R yang terakhir, iaitu ‘Revitalise’ (Memperkasa) dan ‘Reform’ (Menyusun Semula) ekonomi terutama dalam menghadapi era baharu pasca-pandemik,” katanya.

Sementara itu Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata PEMULIH menjadi bukti yang kerajaan komited untuk memastikan nasib rakyat di negara ini, termasuk golongan peniaga terbela berikutan penularan wabak COVID-19 yang masih lagi berleluasa.

Katanya, langkah seperti moratorium pinjaman, skim pengeluaran i-Citra, subsidi upah serta skim pinjaman mikro kredit seharusnya dapat meringankan beban kewangan rakyat terutama bagi mereka yang terkesan.

-Advertisement-

“Namun, persoalan pokok masih lagi berkenaan pembukaan ekonomi sepenuhnya dan perkara ini amat bergantung kepada program pemvaksinan yg mana sasaran imuniti berkelompok perlu dicapai dalam kadar segera.

“Pihak PKS atau PKSM juga digalakkan untuk mencari peluang yg disediakan oleh agensi seperti SME Corp, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bagi menaik taraf perniagaan, selain mencuba untuk meneroka peluang bagi mengeksport barangan dan perkhidmatan ke luar negara.

“Ini termasuklah latihan untuk menaik taraf sudut pengurusan kewangan, strategi pemasaran efektif yang mengambil kira perkembangan tekonologi seperti penggunaan media sosial untuk memasarkan barangan. Selain itu, membuat promosi dan iklan yang memberi kesan terhadap penerimaan barangan yang dijual,” katanya.

Bagi peniaga keropok lekor dan kuih-muih di Sik, Kedah, Noorhidayu Cheteh, 27, pinjaman yang dibuat dengan TEKUN amat membantu untuk menampung perbelanjaan kos perniagaan yang terjejas akibat COVID-19.

“Pinjaman sebanyak RM10,000 ini juga membolehkan saya untuk membesarkan lagi gerai sekali gus mampu menawarkan lebih banyak produk makanan.

Pengusaha jambangan bunga dan penghantaran hadiah, Blossom Florist Kluang, Fazrul Adzeem Mohd Faudzi, 34, pula berkata pembiayaan amat membantu dari segi aliran tunai terutama semasa kemuncak pandemik COVID- 19 di mana terdapat kos operasi yang perlu dibayar seperti sewa kedai, walaupun perniagaan tidak dapat dijalankan.

“Ia juga memberi modal tambahan untuk membeli stok perniagaan dan perkakasan baharu seperti pencetak pelekat vinyl yang dapat mempelbagaikan perkhidmatan dari kedai kami,” katanya.-BH


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373